CHEGU Bard. FOTO NSTP.
CHEGU Bard. FOTO NSTP.
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini menetapkan Isnin depan bagi keputusan perintah larangan terhadap Ahli Jawatankuasa Penerangan Bersatu, Badrul Hisham Shaharin atau Chegu Bard berkaitan isu kasino di Forest City, Iskandar Puteri.

Hakim Datuk Abu Bakar Katar membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan pihak pendakwaan dan pembelaan hari ini.

Ia berikutan Mahkamah Sesyen pada 30 April lalu menolak permohonan pendakwaan yang memohon perintah larangan dikenakan terhadap Chegu Bard.

Perintah larangan berkenaan supaya responden tidak mengeluarkan sebarang komen atau kenyataan umum mengenai isu kasino di Forest City di mana-mana termasuk platform media sosial sehingga kes selesai.

Prosiding semakan kehakiman itu dikendalikan Pengarah Pendakwaan Kuala Lumpur, Datin Kalmizah Salleh; Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Mohd Sabri Othman dan Abdul Malik Ayob serta Timbalan Pendakwa Raya, Nurilya Ellyna Nor Azmal dan Mohd Syafiq Mohd Ghazali.

Sementara Chegu Bard diwakili Muhammad Rafique Rashid Ali.

Pada 30 April lalu, Chegu Bard mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas pertuduhan menerbitkan penerbitan menghasut berhubung projek kasino di Forest City menerusi media sosial.

Dalam prosiding itu, Hakim Rasidah Roslee turut menolak cadangan perintah larangan yang dimohon pendakwaan, dengan alasan pihak itu gagal mengemukakan afidavit secara bertulis bagi menunjukkan Chegu Bard atau pihak berkaitan akan menjejaskan keadilan perbicaraan.

Terdahulu, Kalmizah dalam hujahannya berkata, ketidakadilan serius terhasil apabila hakim Mahkamah Sesyen menolak perintah larangan berkenaan dan kesilapan itu perlu diperbetulkan.

"Kes ini adalah membabitkan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, justeru ia sebagai langkah waspada daripada responden mengeluarkan komen yang mengundang pelbagai reaksi rakyat di media sosial yang akhirnya akan mengundang kesalahan lain.

"Adalah tidak wajar Agong diheret dalam kancah kebencian dan sentimen berterusan hasil perdebatan di media sosial," katanya.

Bagaimanapun peguam Chegu Bard, Muhammad Rafique berkata, perintah larangan berkenaan tidak wajar dibenarkan kerana artikel asal berhubung isu kasino di Forest City itu masih kekal dan tidak diturunkan dua agensi media antarabangsa.

"Apatah lagi pihak pendakwaan ada kuasa pada bila-bila masa untuk memulakan prosiding menghina mahkamah jika ada kesalahan dilakukan anak guam saya," katanya.

Hakim kemudian menetapkan keputusan sama ada mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen atau mengenepikannya sekali gus mengeluarkan perintah larangan, pada 20 Mei atau Isnin depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Mei 2024 @ 12:38 PM