KEADAAN jambatan gantung Tuaran yang rosak teruk kerana hilang lantai kerana faktor usia. FOTO Johary Indan
KEADAAN jambatan gantung Tuaran yang rosak teruk kerana hilang lantai kerana faktor usia. FOTO Johary Indan
Johary Indan

Tuaran: Jambatan gantung Tuaran berhampiran pekan ini yang pernah mendapat perhatian pelancong tempatan dan luar suatu ketika lalu, kini terlalu usang dan berbahaya digunakan kerana faktor usia.

Tinjauan mendapati jambatan berusia lebih tiga dekad itu masih terus dimanfaatkan penduduk beberapa kampung sebagai kemudahan ke pekan Tuaran.

Jambatan terletak berhampiran pasar tamu mingguan Tuaran itu tidak diselenggara menyebabkan struktur seperti lantai papan reput, patah dan tercabut.

Penduduk Kampung Baru Selaud, Sofian Johari, 65, berkata, jambatan itu masih kekal digunakan penduduk dari Kampung Tongkoringan, Baru Selaud, Tutu, Labuaya dan Selupoh sebagai laluan alternatif ke pekan Tuaran.

"Jambatan gantung Tuaran yang wujud sejak awal 60-an pernah menjadi daya tarikan pengunjung pasar tamu Tuaran termasuk pelancong luar suatu ketika lalu.

"Kemudahan itu cukup memberi manfaat kepada penduduk kampung berhampiran selain boleh dikembalikan sebagai daya tarikan pengunjung jika dinaiktaraf semula," katanya.

Dia berkata, jambatan yang pernah menjadi laluan perhubungan penting penduduk kampung suatu ketika lalu semakin diabaikan sejak jalan raya Berungis-Kota Belud dibina pada 1994.

Sofian yang juga Ketua Anak Negeri Tuaran berkata, kemudahan itu tidak wajar dibiarkan begitu saja, memandangkan masih ramai penduduk termasuk pelajar sekolah menggunakan hampir setiap hari.

Menurutnya, lokasi jambatan itu juga berada di projek pertahanan tebing Sungai Tuaran yang sedang dilaksanakan untuk mengukuhkan tebing sungai.

"Pengindahan tebing sungai itu akan memberi manfaat lain terutama sebagai kawasan rekreasi awam untuk membolehkan kegiatan riadah, joging, memancing dan tempat baru kunjungan awam di Tuaran.

"Apabila projek itu siap, sudah tentu jambatan gantung Tuaran kembali menjadi tumpuan ramai kerana kedudukannya benar-benar pada lokasi kemudahan itu," katanya.

Sehubungan itu, dia mencadangkan kepada kerajaan supaya melakukan pembaikan ke atas kemudahan yang penting kepada penduduk supaya kembali dapat dimanfaatkan dengan selesa dan selamat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mei 2024 @ 1:46 PM