Lokasi mangsa dipercayai terjatuh dari Jambatan Gantung Kampung Damat - Kampung Lakang di Kampung Telibong, Tamparuli. FOTO IHSAN PDRM
Lokasi mangsa dipercayai terjatuh dari Jambatan Gantung Kampung Damat - Kampung Lakang di Kampung Telibong, Tamparuli. FOTO IHSAN PDRM
Recqueal Raimi


Tuaran: Seorang remaja berusia 13 tahun dikhuatiri lemas apabila dihanyutkan arus deras selepas terjatuh ke dalam Sungai Tuaran, Kampung Telibong, Tamparuli di sini, hari ini.

Mangsa warga tempatan, Mohd Hisham Iskandar Azli dipercayai tergelincir ketika menyeberangi Jambatan Gantung Kampung Damat - Kampung Lakang bersama lima rakannya kira-kira jam 2.30 petang tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Tuaran, Abdul Qawie Abdul Gapar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 2.38 petang berhubung kejadian terbabit.

Katanya, seramai sembilan anggota termasuk unit anjing pengesan (K9) bergegas ke lokasi kejadian beserta satu jentera dan satu kenderan utiliti Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, pasukan bomba bertindak menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa di kawasan pinggir sungai dengan bantuan penduduk kampung berhampiran menggunakan bot."

"Bagaimanapun, mangsa yang memakai pakaian baju berwarna kuning dan seluar hitam belum ditemui di sekitar radius sejauh dua kilometer sehingga kini." katanya.

Menurutnya, operasi turut disertai agensi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengaliran dan Saliran Tuaran.

"Operasi ditangguhkan pada jam 6.50 petang tadi dan akan disambung pada keesokkan pagi," katanya.

Menurut saksi di lokasi kejadian, mangsa dilihat memanjat jambatan gantung untuk bergambar namun tergelincir dan tidak sempat berpaut sebelum terjatuh ke dalam sungai.

Rakan mangsa kemudiannya bergegas meminta bantuan penduduk kampung manakala mangsa dilihat kali terakhir sejauh 100 meter sebelum tenggelam.

Hasil tinjauan di lokasi, paras sungai masih belum menurun sepenuhnya selepas berlaku peningkatan akibat hujan lebat semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Julai 2023 @ 8:31 PM