TUN Juhar (tengah) menyertai perarakan sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri Sabah bersama Hajiji. FOTO Bernama
TUN Juhar (tengah) menyertai perarakan sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri Sabah bersama Hajiji. FOTO Bernama
BERNAMA

Sandakan: Perbezaan yang wujud dalam masyarakat harus dijadikan sebagai kelebihan manakala persamaan menjadi sumber kekuatan dalam mengukuhkan Keluarga Malaysia, kata Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin.

Tun Juhar berkata perpaduan yang terjalin hendaklah diperkukuhkan lagi dengan ikatan kasih sayang dan sikap bertoleransi sebagai sebuah keluarga besar sejajar dengan tema sambutan Maulidur Rasul tahun ini Keluarga Malaysia Pemangkin Kemakmuran.

"Prinsip inilah yang diterapkan oleh baginda Nabi Muhammad SAW ketika membangunkan Kota Madinah. Mengimbas kembali sejarah Rasulullah SAW semasa berada di Madinah, baginda mengadakan perjanjian damai dengan pelbagai kaum yang tinggal berhampiran Kota Madinah.

"Ini demi meningkatkan lagi kesefahaman dan memperbaharui hubungan berlandaskan prinsip kebenaran serta menghindar kekacauan," katanya berucap pada majlis pelancaran sambutan Maulidur Rasul Peringkat Sabah di sini hari ini.

Dalam mendepani cabaran dunia yang semakin hebat, Tun Juhar menyeru rakyat tanpa mengira status khususnya di negeri ini supaya sama-sama memainkan peranan terutama dalam membantu memulihkan kembali kemelut yang dihadapi.

Menurut Tun Juhar setiap cabaran dan rintangan perlu ditangani secara bijaksana berlandaskan ilmu pengetahuan dan kemahiran yang sebenar melalui semangat Keluarga Malaysia.

"Mudah-mudahan semangat kebersamaan kita itu dapat memberikan impak yang tinggi, sekali gus membina kesatuan yang dinamik dan progresif dalam kalangan rakyat negeri ini," katanya.

Sementara itu, Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor ketika berucap pada majlis sama berkata umat Islam hari ini harus memiliki tekad serta kaedah baharu dalam mengharungi cabaran semasa, antaranya memiliki kemampuan untuk berdikari dan berusaha bagi mengelakkan kebergantungan terhadap orang lain.

"Berdikari adalah sikap yang perlu dicontohi umat Islam di negeri ini, khususnya anak-anak muda. Kita juga perlu istiqamah belajar dan menguasai ilmu serta kemahiran terkini sambil menghayati ajaran al-Quran dan sunnah bagi mengelakkan diri daripada terus mundur," katanya.

Pada sambutan itu, Presiden Persatuan Cina Muslim Malaysia Prof Datuk Dr Taufiq Yap Yun Hin yang juga bekas Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah dan bekas Pengarah Pendidikan Sabah Datuk Maimunah Suhaibul menerima Anugerah Tokoh Maulidur Rasul.

Penerima anugerah berkenaan masing-masing membawa pulang wang tunai RM20,000, seutas jam tangan, set persalinan pakaian dan plak anugerah.

Terdahulu, 121 kontinjen daripada pelbagai jabatan dan agensi kerajaan serta sekolah, pertubuhan dan kampung menyertai perarakan dari Padang Bandaran Sandakan ke Dewan Masyarakat Sandakan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Oktober 2022 @ 3:11 PM