Tangkap layar memaparkan gambar ketua polis melaka digunakan sebagai gambar profile oleh individu tidak dikenali- Foto - FB IPK Melaka.
Tangkap layar memaparkan gambar ketua polis melaka digunakan sebagai gambar profile oleh individu tidak dikenali- Foto - FB IPK Melaka.
Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Polis mengesan gambar Ketua Polis Melaka Datuk Zainol Samah digunakan sebagai gambar profil bagi aplikasi WhatsApp oleh individu tidak bertanggungjawab sejak Jumaat lalu.

Menerusi hebahan di Facebook Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, suspek turut dikesan menghantar pesanan ringkas kepada beberapa individu.

Perkara itu terbongkar apabila kenalan Zainol yang turut menerima pesanan ringkas berkenaan segera menyemak dengan beliau bagi mendapatkan pengesahan.

Sehubungan itu, polis menasihati orang ramai yang menerima pesanan ringkas berkaitan supaya mengabaikannya.

"Pohon kerjasama kepada mana-mana individu yang menerima pesanan ringkas daripada nombor telefon yang menggunakan gambar Ketua Polis Melaka untuk mengabaikan pesanan terbabit," katanya.

Berdasarkan beberapa tangkap layar dikongsikan antara lain kandungan pesanan ringkas itu menyatakan akan mewujudkan kumpulan WhatsApp baharu berkaitan info kesihatan Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Mei 2024 @ 5:03 PM