Contoh surat notis kehadiran suspek yang dihantar kepada mangsa melalui aplikasi WhatsApp. FOTO Ihsan PDRM
Contoh surat notis kehadiran suspek yang dihantar kepada mangsa melalui aplikasi WhatsApp. FOTO Ihsan PDRM
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah Kedah mengesan taktik terbaru Scammer yang menghantar surat "Notis Kehadiran Suspek" dipercayai palsu kepada mangsa melalui aplikasi WhatsApp.

Ketua JSJK, Superintendan Elias Omar berkata, kandungan notis itu menyatakan individu yang menerima surat itu iaitu suspek (penerima mesej) dipercayai terbabit dalam penyeludupan dadah dan pengubahan wang haram.

Beliau berkata, melalui surat itu, sekiranya suspek tidak memberi kerjasama dengan pihak polis Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah dalam masa dua jam, polis akan mengeluarkan waran tangkap terhadap suspek serta-merta dan akan membekukan semua akaun bank suspek dalam tempoh dua tahun enam bulan serta reman selama 45 hari.

"JSJK Kontinjen Kedah mengesahkan notis terbabit adalah palsu dan siasatan sedang dijalankan terhadap individu yang bertanggungjawab dalam menyebarkan notis palsu berkenaan.

"Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati dengan pelbagai teknik penipuan samada melalui panggilan telefon, aplikasi whatsapp, emel dan sebagainya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Elias berkata, surat berkenaan menunjukkan cara seperti professional dan ianya salah satu contoh teknik Scammer terbaharu yang ada masa kini.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mempercayai atau terpedaya dengan tipu helah melalui notis yang dihantar itu.

"Pihak polis ingin menasihatkan jangan sesekali percaya sepenuhnya sebarang panggilan yang diterima mengaku dari mana-mana Jabatan Kerajaan atau institusi kewangan, sebaliknya orang ramai dinasihatkan untuk menghubungi sendiri ke jabatan berkenaan untuk pengesahan.

"Jadilah rakyat yang bijak dan elakkan diri dari ditipu oleh Scammer," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Ogos 2023 @ 5:48 PM