Gambar hiasan
Gambar hiasan
Amir Mamat


Melaka: Terlalu panik menyebabkan seorang warga emas kerugian RM20,000 selepas diperdaya penjenayah menyamar sebagai pegawai polis.

Pesara kerajaan berusia 70 tahun itu dikatakan terkejut selepas menerima panggilan berkenaan pada 6 Januari lalu yang mendakwa dia terbabit dalam kegiatan penggubahan wang haram dan akan ditangkap polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Melaka, Superintendan Sundra Rajan Ellumalai, berkata, untuk mengelakkan ditangkap, suspek mengarahkan mangsa membayar RM10,000 kononnya sebagai wang jaminan polis.

Katanya, mangsa yang panik membuat bayaran dengan memindahkan sejumlah wang ke akaun bank diberikan suspek.

"Selepas membuat bayaran, mangsa dihubungi sekali lagi oleh suspek sama dan mengarahkan mangsa membuat bayaran kali kedua.

"Akibat percaya dengan panggilan itu, mangsa sekali lagi membuat bayaran taambahan RM10,000," katanya tadi.

Beliau berkata, selepas membuat bayaran berjumlah RM20,000 itu, mangsa menceritakan perkara itu kepada ahli keluarganya sebelum menyedari ditipu.

Katanya, mangsa kemudiannya membuat laporan di Balai Polis Jasin, semalam dan pihak polis segera menjalankan siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan atas kesalahan menipu.

"Sehubungan itu, kami menasihati orang ramai yang menerima apa-apa panggilan yang mendakwa daripada pihak polis supaya menghubungi mana-mana balai terdekat untuk pengesahan.

"Bagi mengelakkan perkara seumpama itu berlaku, orang ramai dinasihatkan supaya membuat semakan ke atas nombor telefon dan nombor akaun yang meragukan di laman web http://ccid.rmp.gov.my/semakmule atau dengan memuat turun aplikasi Check Scammers CCID di Google Playstore," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 January 2021 @ 5:24 PM