Muhammad Jailani Khamis
Muhammad Jailani Khamis
Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis mengesahkan akaun WhatsAppnya digodam pihak tidak bertanggungjawab untuk meminta wang daripada orang ramai sejak Selasa lalu.

Menurutnya, perkara itu disedari apabila menerima panggilan telefon daripada beberapa kenalan dan ahli keluarga yang meminta kepastian selepas menerima mesej daripada individu menyamar dirinya meminta sejumlah wang.

"Ada usaha mengaibkan saya dengan menggunakan nombor telefon saya yang lama dan meminta duit daripada semua orang.

"Alhamdulillah saya sudah membuat laporan polis dan menamatkan nombor terbabit, malangnya ia masih digunakan melalui WhatsApp," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, WhatsAppnya tidak boleh digunakan selepas menerima dan mengesahkan enam digit kod dihantar seorang kenalannya pada 31 Oktober lalu, kira-kira jam 9 malam.

"Waktu itu saya berada di rumah di Ayer Keroh sebelum seorang kenalan menghantar mesej untuk 'private chatting' dan menyuruh saya menerima kod peribadi sebanyak enam digit.

"Memandangkan dia kenalan dalam kumpulan WhatsApp saya menerima kod itu dan lima minit kemudian WhatsApp saya tidak boleh digunakan dan mula menerima panggilan bertanyakan adakah saya mahu meminjam wang?" katanya.

Bekas Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan negeri itu berkata, keesokan harinya pada jam 9.48 malam, isteri dan anak-anaknya turut menerima mesej daripadanya yang meminta pinjaman dimasukkan ke dalam akaun.

"Disebabkan susunan ayat tidak seperti kebiasaan saya, mereka menelefon saya terlebih dulu untuk pengesahan.

"Jadi saya menamatkan nombor telefon terbabit kerana bimbang timbul persepsi Adun Rembia cuba menipu duit orang," katanya yang membuat laporan di Balai Polis Ayer Keroh pada 1 November lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 November 2023 @ 3:49 PM