Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Sekretariat Majlis Reunion Perjumpaan Bekas Perajurit RU6622 menuntut supaya kerajaan menyelaraskan pencen veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan memberi pencen kepada anggota veteran tidak berpencen bagi meringankan beban mereka yang tergolong dalam kategori B40.

Pengerusi Bersama dan Penasihat Undang-Undang Reunion Perjumpaan Bekas Perajurit RU662, Mejar (B) Mior Rosli Mior Mohd Jaafar berkata, pihaknya membuat beberapa tuntutan hari ini antaranya berkaitan penyelarasan pencen veteran, pemberian pencen kepada veteran tidak berpencen dan pengampunan kepada bekas tentera yang diberhentikan atas kesalahan salah laku.

Menurutnya, penyelarasan pencen sebelum ini dibuat dua kali pada 2004 dan 2007 namun pada kali kedua itu ada yang dapat dan ada veteran ATM yang tidak menerima penyelarasan pencen itu.

"Paling ketara berlaku pada 2013 apabila tentera yang masih berkhidmat menerima kenaikan gaji 60 peratus sedangkan kami yang veteran hanya diberi kenaikan dua peratus.

"Jadi selepas 2014 apabila mereka bersara pembayaran pencen dengan veteran sangat besar perbezaannya malah apa yang berlaku kini mereka yang bersara dengan Lettenan Kolonel dan ke bawah semuanya B40," katanya pada sidang media selepas majlis itu di Tugu Negara, di sini, hari ini.

SEBAHAGIAN bekas perajurit yang hadir ke program Reunion Bersama Bekas Perajurit Semalaysia ATM dan Isu-Isu Semasa Veteran ATM 6622 di Tugu Negara, Kuala Lumpur. FOTO Hairul Anuar Rahim
SEBAHAGIAN bekas perajurit yang hadir ke program Reunion Bersama Bekas Perajurit Semalaysia ATM dan Isu-Isu Semasa Veteran ATM 6622 di Tugu Negara, Kuala Lumpur. FOTO Hairul Anuar Rahim

Mior Rosli berkata, pihaknya juga menuntut supaya golongan veteran tidak berpencen ini turut dapat menikmati pencen mereka selepas ini.

"Selain itu, kita juga menuntut supaya bekas tentera yang diberhentikan atas kesalahan salah laku diberi pengampunan.

"Dalam tentera disiplin itu sangat penting dan saya tidak kata orang buat salah tidak boleh dihukum tetapi sehingga kini mereka ini (bekas tentera) tiada ada peluang untuk meminta pengampunan," katanya.

Beliau berkata, apabila tidak mendapat pengampunan mereka hilang semuanya sedangkan ada yang tinggal setahun lagi untuk mendapat pencen malah akta veteran juga menyatakan sesiapa diberhentikan atas masalah disiplin tidak layak digelar veteran.

"Lagipun kesalahan yang dilakukan seperti kes seorang sarjan menolak untuk divaksin dan kes juruterbang menunjuk cap jari bukanlah kesalahan yang dibuat boleh menjatuhkan kerajaan atau melawan Yang Dipertuan Agong," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Reunion Perjumpaan Bekas Perajurit RU662, Komander (B) Datuk Abdul Rahman Hussin berkata, pihaknya setakat ini sudah berjaya mengumpul seramai 12,800 ahli dan akan mendaftar sebagai persatuan dalam tempoh sebulan.

"Persatuan ini ditubuhkan untuk memperjuangkan dan meningkatkan taraf sosial ekonomi veteran ATM dengan memfokuskan kepada industri makanan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Jun 2022 @ 2:14 PM