GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Kementerian Pertahanan sedang merangka dan menyusun program kerjaya kedua untuk veteran tentera bagi membela nasib dan mengeluarkan mereka dari garis kemiskinan.

Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata, penyelesaian jangka panjang itu antara teras kementerian selain penyaluran Bantuan Sara Hidup (BSH) untuk menjaga kebajikan anggota tentera sama ada berpencen mahupun tidak.

"Isu penyelarasan kadar pencen terkait 2013 itu, kita di kementerian tak nafikan dan secara dasar menyerahkan keputusan mahkamah dan kerajaan mengambil tanggungjawab itu.

"Strategi kita bagaimana menyelesaikan isu anggota kita sama ada berpencen atau tidak antaranya lihat kepada garis kemiskinan semua menjadi teras yang kita tetap bantu melalui BSH.

"Kedua jangka masa panjang, bagaimana kita menyusun kerjaya kedua veteran ini kerana kita tahu setiap tahun ada kira-kira 5,000 veteren, jadi menyusun kerjaya kedua satu persoalan cukup penting bagi kita kerana dengan cara ini saja kita dapat mengeluarkan meereka dari garis kemiskinan," katanya di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Beliau mengulas soalan tambahan Yuneswaran Ramaraj (PH-Segamat) mengenai strategi kementerian memperkukuhkan kedudukan kewangan bagi menyeragamkan kadar pencen pesara tentera yang diputuskan Mahkamah Persekutuan Jun lalu dan bagaimana Pelan Strategik 2023-2025 (MAMPAN25) direncanakan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) boleh disalurkan untuk pelaksanaan kadar pencen tahunan khususnya pesara berpencen sebelum 2013.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Datuk Khlir Mohd Nor (PN-Ketereh) sama ada kementerian itu mempunyai rancangan menambah anggota Jabatan Hal Ehwal VeteranATM (JHEV) di peringkat negeri dengan cadangan mengambil bekas tentera atau veteran yang berhenti supaya mereka memiliki pekerjaan, Adly berkata perkara itu memang sedang diteliti dan dipertimbangkan.

"Kita tahu antara cabaran kita ada lebih 213,000 veteran dan kitatahu anggota JHEV terhad untuk melihat keseluruhan veteran.

"Sebab itu memang kita sedang merancang dan usahakan untuk pastikan setiap negeri tiada lagi gabungan contohnya macam kita tengok Melaka dengan Negeri Sembilan serta Kelantan dan Terengganu jadi setiap negeri (perlu ada) jawatankuasa di peringkat hal ehwal veteran itu sendiri.

"Strategi kedua pula, kita sedang tambah kakitangan melalui program Malaysia Short-Term Employment Programme (MySTEP) yang kita akan libatkan veteran dan persatuan veteran.

"Dengan cara ini kita fikir anggota veteran lebih dipedulikan dan program kita akan sampai ke akar umbi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Oktober 2023 @ 12:14 PM