MOHD Shukri. FOTO Arkib NSTP
MOHD Shukri. FOTO Arkib NSTP
Fazrik Kamarudin


DATUK Seri Mohd Shukri Abdull mengangkat sumpah jawatan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang ke-13 di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V di Istana Negara, Kuala Lumpur, hari ini.

Sultan Muhammad V memberi perkenan selaras dengan Seksyen 5 (7) Akta SPRM 2009 iaitu setiap Ketua Pesuruhjaya yang dilantik perlu mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertuan Agong.

Pada 21 Mei lalu, Sultan Muhammad V memperkenankan pelantikan Mohd Shukri sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM bagi tempoh dua tahun iaitu mulai 18 Mei 2018 sehingga 17 Mei 2020.

Turut hadir, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin: Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun: Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki: Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Shamshun Baharin Mohd Jamil dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan & Profesionalisme) SPRM, Datuk Ja'afar Mahad.

Mohd Shukri, 58, sudah berkhidmat selama 32 tahun di SPRM sebelum bersara pada 4 Oktober 2016 dengan jawatan terakhir sebagai Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM.

Beliau berkelulusan Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan (Kepujian) dari Universiti Kebangsaan Malaysia dan berpengalaman luas dalam mengendalikan kes rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Julai 2018 @ 7:30 PM