DATARAN Merdeka. FOTO NSTP.
DATARAN Merdeka. FOTO NSTP.
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Laluan di ibu kota akan ditutup sementara pada Ahad ini, sempena acara sukan berbasikal Grand Fondo New York (GFNY).

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, sebanyak 22 laluan membabitkan jarak sejauh 40 kilometer akan digunakan untuk acara berkenaan manakala selebihnya di kawasan Selangor.

Menurutnya, acara membabitkan penyertaan 385 peserta di Dataran Merdeka itu dijangka dimulakan dari 6.45 pagi sehingga 11 pagi.

Katanya, penutupan secara berperingkat akan diadakan seawal 6.30 pagi.

"Laluan terbabit adalah Dataran Merdeka; Jalan Tuanku Abdul Rahman; Jalan Raja Chulan; Jalan Conlay; Jalan Stonor; Jalan Perak; Jalan P Ramlee; Jalan Sultan Ismail; Jalan Ampang; Jalan Raja Laut; Jalan Tun Razak.

"Jalan Kuching; Jalan Tun Ismail; Jalan Sultan Salahuddin; Lebuhraya Sultan Iskandar; Jalan Parlimen; Jalan Persiaran Tuanku Jaafar; Jalan Damansara; Jalan Hang Tuah; Jalan Bukit Petaling, Jalan Hang Tuah; Jalan Imbi; dan Bulatan Sungai Besi," katanya dalam kenyataan hari ini.

Justeru, beliau menasihati warga kota terutama pengguna jalan raya supaya menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam, mengelak menggunakan laluan ditutup dan mematuhi arahan anggota bertugas.

Beliau berkata, sebarang pertanyaan boleh menghubungi Hotline Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di talian 03-26179378 atau Hotline Trafik KL di talian 03-20719777 atau menerusi Facebook Polis KL dan TrafikKL.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Mei 2024 @ 3:25 PM