Kuala Lumpur: Lima laluan utama di sekitar ibu negara akan ditutup bagi semua kenderaan sempena acara perlumbaan City Grand Prix 2015 yang bermula Jumaat hingga Ahad ini.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur Datuk Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata, laluan itu membabitkan Jalan Ampang ke KLCC, Jalan Sultan Ismail, Jalan Raja Chulan, Jalan Perak dan Jalan P. Ramlee di sini.

Menurutnya, laluan itu akan ditutup mulai jam 6 pagi sehingga 6 petang.

Dia berkata, polis turut menyediakan tujuh lokasi lencongan yang mempunyai akses kawalan bertujuan memberi laluan kepada pengguna jalan raya yang memiliki pelekat dan pas khas untuk masuk ke kawasan di sekitar lokasi perlumbaan itu.

“Tujuh lokasi lencongan itu ialah persimpangan Jalan Sultan Ismail/Jalan Raja Abdullah, Jalan Ampang/Jalan Dang Wangi, Jalan Ampang/KLCC, Jalan Raja Chulan/Jalan P.Ramlee, Jalan Bukit Bintang/Jalan Sultan Ismail, Jalan Sultan Ismail/Jalan Raja Chulan dan Jalan Yap Kwan Seng/Jalan Mayang.

“Akses kawalan ini akan ditutup sepenuhnya jam 7.30 pagi khusus bagi orang ramai yang bekerja di sekitar bangunan di situ,” katanya di Balai Polis Trafik Kuala Lumpur di sini, semalam.

Sementara itu, Wan Abdul Bari berkata, orang ramai yang hendak ke ibu negara dinasihatkan menggunakan pengangkutan awam seperti Transit Aliran Ringan (LRT) dan Monorail bagi mengelakkan kesesakan jalan raya.

Katanya, seramai 200 pegawai dan anggota polis trafik akan bertugas bagi memantau dan mengawal bagi memastikan kelancaran lalu lintas sepanjang tiga hari acara berkenaan berlangsung.

Pengguna jalan raya boleh menghubungi Bilik Gerakan Trafik Kuala Lumpur di talian 03-2071-9777, Hotline Dewan Bandaraya Kuala Lumpur 03-26179378, penganjur GT Global Race (M) Sdn. Bhd 03-62012719 untuk sebarang pertanyaan berhubung penutupan dan lencongan jalan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Ogos 2015 @ 7:18 AM