POKOK tumbang di Jalan Sultan Ismail. FOTO Aswadi Alias
POKOK tumbang di Jalan Sultan Ismail. FOTO Aswadi Alias
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Empat stesen Monorel akan ditutup kepada orang ramai kerana keperluan penutupan bekalan kuasa di landasan bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pembersihan dan baik pulih.

Ia susulan kejadian pokok tumbang berhampiran Stesen Monorel Bukit Nanas, di sini, yang berlaku semalam.

Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) dalam kenyataan, hari ini, memaklumkan pihaknya akan melaksanakan perkhidmatan alternatif bagi memastikan kesinambungan perjalanan penumpang bermula jam 6 pagi ini.

"Empat stesen Monorel yang ditutup adalah Stesen Monorel Bukit Nanas, Stesen Monorel Raja Chulan, Stesen Monorel Bukit Bintang dan Stesen Monorel Imbi.

"Bagi menyokong perkhidmatan alternatif itu supaya penumpang dapat meneruskan perjalanan, pihak Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus) akan menyediakan perkhidmatan bas perantara percuma di antara stesen-stesen terjejas," katanya.

Menurutnya, penumpang yang terkesan dengan gangguan luar jangka itu disarankan

untuk menggunakan lain-lain perkhidmatan tren sebagai perjalanan alternatif.

"Ini termasuk menggunakan perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) KL Sentral; Transit Aliran Massa (MRT) Muzium Negara; LRT Hang Tuah; MRT Bukit Bintang; LRT Dang Wangi; LRT Sultan Ismail (melalui jejantas) serta LRT dan MRT Titiwangsa.

"Buat masa ini, kerja-kerja pembersihan dan baik pulih terperinci sedang giat dijalankan

oleh Rapid Rail dengan bantuan pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL)," katanya.

Katanya, pihak operasi dan jurutera struktur juga sedang menjalankan pemeriksaan terperinci untuk memastikan pengoperasian penuh dapat dijalankan mengikut standard keselamatan dan piawaian ditetapkan.

"Sebarang kemaskini akan dimaklumkan secara berkala menerusi saluran media sosial Rapid KL dan aplikasi PULSE.

"Kami memohon maaf atas gangguan luar jangka ini. Pihak kami akan memastikan pengoperasian penuh dapat dijalankan semula secepat mungkin," katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan seorang maut manakala dua lagi cedera dalam kejadian pokok tumbang di Jalan Sultan Ismail berhampiran sebuah hotel, di sini, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mei 2024 @ 11:20 AM