PESERTA Green Run, Fun Ride dan Walk For Life memulakan larian sempena Karnival Sambutan HBN 2022 Peringkat Kebangsaan.
PESERTA Green Run, Fun Ride dan Walk For Life memulakan larian sempena Karnival Sambutan HBN 2022 Peringkat Kebangsaan.
Suliati Asri

SERAMAI 39,000 peserta dan pengunjung khususnya belia memeriahkan Karnival Sambutan Hari Belia Negara (HBN) 2022 Peringkat Kebangsaan yang diadakan di Padang Pekan Tuaran, Sabah, baru-baru ini.

Berlangsung selama tiga hari bermula 15 hingga 17 Julai lalu, karnival itu turut menawarkan 1,000 peluang pekerjaan kepada belia di Sabah selain pelbagai aktiviti disediakan kementerian, agensi serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bertujuan menyerlahkan potensi, membina pengalaman dan membentuk peribadi diri belia.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam satu kenyataan berkata, Hari Belia Negara adalah hari yang signifikan kepada golongan belia yang secara lazimnya disambut pada 15 Mei setiap tahun.

Katanya, sambutan itu menggambarkan kepentingan golongan belia sebagai aset dalam proses pembangunan negara.

"Sambutan ini juga dilaksanakan sebagai satu penghargaan dan pengiktirafan daripada pihak kerajaan kepada golongan belia yang menyumbang kepada pembangunan negara," katanya.

ImagePERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika hadir pada Karnival Sambutan HBN 2022 Peringkat Kebangsaan di Tuaran.

Tema sambutan kali ini iaitu 'Ini Masa Kita' mempunyai keistimewaan tersendiri kerana ia diilhamkan oleh belia menerusi KBS melalui Jabatan Belia dan Sukan membuka cadangan bagi pemilihan tema Hari Belia Negara pada tahun ini bermula 17 hingga 28 Januari lalu.

Sepanjang tempoh itu, sebanyak 107 cadangan tema diterima dan 'Ini Masa Kita' dipilih sebagai tema Hari Belia Negara 2022.

"Tema ini mengingatkan kita betapa berharganya masa muda dan perlu dimanfaatkan dengan sebaik mungkin. Inilah masanya belia tampil melalui pelbagai peluang disediakan selari dengan konsep 'daripada belia untuk belia'.

"Tema ini juga sinonim dengan golongan belia yang pada masa kini untuk bersama-sama membangunkan negara, walau dalam apa sekalipun keadaan yang melanda," katanya.

Berlangsung selama tiga hari, secara keseluruhannya HBN 2022 menawarkan 511 aktiviti yang bermanfaat dan menarik di peringkat kebangsaan, negeri dan daerah.

Aktiviti ini dibahagikan kepada enam segmen iaitu Segmen Modal Insan, Segmen Ekonomi, Segmen Gaya Hidup Aktif, Segmen Kreativiti Inovasi dan Digitalisasi, Segmen Kenegaraan dan Patriotisme serta Segmen Daripada Belia Untuk Belia.

Antara aktiviti menarik lain yang disediakan termasuklah Green Run, Fun Ride, Program Kesukarelawanan, Pertandingan Esport, Youth Career, The Patriotic Race, Santai Belia Sejahtera yang menampilkan Zizi Kirana dan Fakhrul UNIC, Konsert Gegar HBN 2022 yang menampilkan selebriti seperti K-Clique, Floor 88 dan Elica Paujin, Belia Sabah Berselawat yang menampilkan UNIC serta Cabutan Bertuah HBN 2022 yang menawarkan 254 hadiah.

Pelaksanaan Ikrar Belia Malaysia yang dilaksanakan sehari sebelum karnival berlangsung membabitkan lebih kurang 300,000 orang pelajar sekolah, institusi pendidikan serta institut pengajian tinggi seluruh negara.

Selain itu, usahawan belia yang berniaga di karnival menzahirkan rasa kesyukuran atas pengunjung yang begitu ramai membeli di gerai dan booth jualan mereka.

Selepas ini sambutan Hari Belia Negara Tahun 2022 diteruskan lagi ke sambutan di peringkat negeri dan daerah sehingga 30 September 2022.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Julai 2022 @ 8:51 PM