GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Asyraf Afnan Ahmad Mustadza

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meneruskan agenda lawatan luar negara ke Turkiye. Lawatan disifatkan produktif dan memberangsangkan ini membuahkan hasil memanfaatkan kedua-dua negara bersaudara selama hampir 58 tahun.

Lawatan rasmi itu jemputan Presiden Recep Tayyip Erdogan kepada Ismail Sabri dalam usaha mengukuhkan lagi hubungan diplomatik kedua-dua negara yang terjalin sejak 1964. Sepanjang lawatan rasmi empat hari bermula 5 Julai hingga 8 Julai lalu, pelbagai program dan perbincangan diadakan bagi meneroka kerjasama dalam bidang ekonomi, pendidikan, sekuriti makanan, aeroangkasa dan industri pertahanan.

Dalam lawatan ini, Perdana Menteri memberi lebih perhatian terhadap isu sekuriti makanan negara berikutan gangguan rantaian bekalan global yang mengakibatkan bekalan makanan negara terjejas. Isu sekuriti makanan bukan sahaja memberi kesan kepada Malaysia, malah turut menjejaskan banyak negara akibat konflik, perubahan iklim dan krisis ekonomi.

Justeru, Perdana Menteri menyatakan hasrat untuk bekerjasama dengan Kerajaan Turkiye bagi memastikan rantaian bekalan makanan sentiasa mencukupi dan stabil di kedua-dua negara. Malaysia -Turkiye juga bersetuju melaksanakan pelaburan berbalik (reverse investment) berkaitan produk makanan di Turkiye bagi memenuhi keperluan sekuriti makanan di Malaysia. Pengeluaran produk berasaskan gandum tahunan Turkiye mencecah hampir 20 juta tan dan republik itu adalah pengeksport bersih komoditi berkenaan. Justeru, Ismail Sabri memaklumkan kepada Erdogan untuk membeli gandum serta memberi kebenaran kepada syarikat Malaysia seperti Boustead Holdings untuk membuat pelaburan berbalik dalam sektor makanan, khususnya gandum dan membawa balik hasilnya demi manfaat Keluarga Malaysia.

Ini antara langkah strategik yang dilaksanakan oleh Perdana Menteri bagi menjamin sekuriti makanan negara yang sedikit terjejas berikutan larangan eksport gandum oleh India. Manakala, dalam sektor ekonomi, Turkiye adalah rakan dagang ketiga terbesar dan sumber import keempat terbesar Malaysia di rantau Asia Barat dengan jumlah perdagangan dua hala yang melebihi USD4.09 bilion (RM16.97 billion). Perdana Menteri juga optimis jumlah dagangan ini akan meningkat pada masa depan melalui perluasan skop Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Turkiye (MTFTA) yang kini berada di fasa akhir dan akan ditandatangani dalam masa terdekat. Perluasan skop MTFTA yang melibatkan e-dagang ini akan memudahkan akses dan memperluaskan pasaran untuk usahawan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) Malaysia serta membuka peluang pelaburan berimpak tinggi dari Turkiye ke Malaysia.

Ia bakal mencipta peluang pekerjaan baharu di Malaysia. Turkiye adalah hab pembuatan produk berasaskan sawit untuk pasaran Eropah dan Asia Tengah. Justeru, Perdana Menteri meminta Kerajaan Turkiye mempertingkatkan import minyak sawit Malaysia. Malaysia juga meneroka peluang dalam menghasilkan sumber tenaga mesra alam bersama Turkiye yang kini mempergiatkan penggunaan biodiesel sebagai bahan bakar pengangkutan. Langkah ini bagi memenuhi objektif agenda hijau negara.

Dalam lawatan itu juga, Ismail Sabri turut memperkasakan kerjasama pendidikan Malaysia dan Turkiye melalui Memorandum Persefahaman (MoU) di antara universiti tempatan dan universiti Turkiye yang melibatkan Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM). Kerjasama ini akan memberi manfaat kepada bidang penyelidikan kedua-dua negara untuk pembangunan masa hadapan. Lebih menggembirakan, Perdana Menteri menyampaikan berita baik kepada Erdogan bahawa Kerajaan Malaysia mengiktiraf ijazah daripada 208 universiti Turkiye. Pengiktirafan ini turut menjadi khabar gembira kepada anak-anak Malaysia yang sedang menimba ilmu di Turkiye.

Presiden Erdogan menyahut berita gembira ini dan menyatakan komitmen Turkiye untuk menambah lagi tajaan atau biasiswa kepada pelajar Malaysia bagi melanjutkan pelajaran di Turkiye. Pada masa ini, lebih 57 pelajar tajaan Kerajaan Tukiye sedang menuntut di sana. Bagi sektor kesihatan, Erdogan membuat tawaran untuk bekerjasama dalam pembangunan vaksin Covid-19, Turkovac buatan Turkiye dan ini disambut baik oleh Perdana Menteri. Untuk sektor pelancongan, Malaysia yang dikenali sebagai antara destinasi pelancongan kesihatan turut diberi perhatian oleh Perdana Menteri bagi memperkasa Malaysia sebagai destinasi pelancongan kesihatan bertaraf dunia melalui Majlis Pelancongan Penjagaan Kesihatan Malaysia (MHTC). Dengan kepakaran Malaysia dalam kesuburan in-vitro (IVF), kardiologi, onkologi, pergigian, pembedahan plastik dan beberapa bidang lain, Turkiye adalah antara pasaran utama negara. Selain itu, Perdana Menteri juga berhasrat memodenkan sistem pertahanan negara dengan memulakan kerjasama bersama Turkiye. Langkah yang diambil melibatkan pembelian aset dan peralatan ketenteraan melibatkan pelaburan dan pembuatan oleh pemain industri pertahanan antarabangsa di Malaysia.

Pendekatan ini akan menguntungkan Malaysia dari segi pemindahan teknologi, kepakaran dan penciptaan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi, malah, ia turut memanfaatkan pemain industri tempatan yang akan terlibat dalam rantaian pembekalan kelak. Sebagai langkah jangka panjang, kerajaan mahu menjadikan Malaysia sebagai hab industri pertahanan moden di rantau ini.

Mengenai isu Palestin, Malaysia-Turkiye bersependapat berhubung sokongan berterusan kepada perjuangan Palestin menamatkan kezaliman rejim Zionis. Berkaitan konflik Rusia dan Ukraine yang memberi impak besar kepada dunia termasuk Malaysia dari segi rantaian bekalan global, inflasi dan kejatuhan mata wang, Perdana Menteri memuji usaha Erdogan bagi mencari perdamaian.

Kesimpulannya, lawatan Ismail Sabri ke Turkiye telah memperkukuh hubungan dua hala serta meningkatkan kerjasama komprehensif dan strategik dalam mendepani isu global yang mencabar.

Penulis Setiausaha Akhbar II kepada Perdana Menteri

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Julai 2022 @ 5:59 AM