SARASWATHY, gambar fail. FOTO NSTP
SARASWATHY, gambar fail. FOTO NSTP
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Timbalan Menteri Perpaduan K Saraswathy menyangkal dakwaan bahawa beliau tidak membayar tunggakan cukai RM189,388.81 kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) seperti yang ditularkan dalam kumpulan WhatsApp.

Beliau berkata, hantaran 'poster' tular yang mengandungi gambar serta maklumat peribadi dengan desakan meminta beliau meletak jawatan sebagai timbalan menteri dan keluar daripada PKR itu berniat jahat untuk memfitnah.

"Saya menyangkal dan menafikan dakwaan itu, ia maklumat palsu dan sengaja dibuat serta diedarkan dengan niat jahat untuk memfitnah saya," katanya dalam kenyataan kepada Harian Metro malam ini.

Saraswathy turut meluahkan kekesalan berikutan maklumat palsu dengan tohmahan berunsur fitnah dan nakal itu dimuat naik dalam portal berita tanpa sebarang verifikasi atas kesahihan maklumat.

"Seorang ahli politik bernama Satish (Satees) Muniandy pula membuat dan menularkan rakaman video menyatakan saya melakukan jenayah cukai.

"Dalam rakaman itu, beliau juga mengeluarkan kenyataan-kenyataan mencabar saya. Saya menyatakan bahawa kesemua pihak berkonspirasi atau bersekongkol mengedarkan maklumat palsu dengan niat jahat atas motif kepentingan diri dan politik," katanya.

Katanya, beliau sudah membuat laporan di Balai Polis Presint 7 semalam supaya polis dapat menjalankan siasatan.

Terdahulu Harian Metro melaporkan, Saraswathy membuat laporan polis terhadap bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bagan Dalam, Satees susulan dakwaan itu.

Ketua Polis Putrajaya Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz dilaporkan berkata, keterangan timbalan menteri terbabit sudah diambil untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Mei 2024 @ 10:06 PM