KEMALANGAN maut membabitkan pasangan suami isteri di Bukit Payong. FOTO Ihsan Pembaca
KEMALANGAN maut membabitkan pasangan suami isteri di Bukit Payong. FOTO Ihsan Pembaca
Nazdy Harun


Marang: Pasangan suami isteri maut apabila motosikal yang ditunggangi terbabit kemalangan dengan pacuan empat roda di Kilometer 13.5 Jalan Kuala Terengganu-Kuala Berang dekat Bukit Payong, pagi hari ini.

Dalam kejadian jam 11.50 pagi itu, Che Roslan Abdul Manan, 58, dan pembonceng Siti Aesah Abu Bakar, 67, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Marang Deputi Superintendan Ts Razman Setapa berkata, kemalangan berlaku apabila motosikal dinaiki mangsa keluar dari arah kiri ke kanan jalan secara tiba-tiba sebelum bertembung dengan pacuan empat roda terbabit.

"Akibat jarak yang terlalu dekat, pemandu pacuan empat roda berusia 24 tahun tidak sempat membrek dan mengelak lalu terlanggar sisi sebelah kanan motosikal terbabit," katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Beliau berkata, penunggang dan pembonceng motosikal meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu pacuan empat roda tidak mengalami kecederaan.

Katanya, mayat dibawa ke unit forensik Hospital Hulu Terengganu (HHT) untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Mei 2024 @ 6:16 PM