Norzamira Che Noh


Shah Alam: Seramai 1,500 pelajar sekolah rendah dan menengah di Selangor, Negeri Sembilan serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur disasarkan terbabit dalam program komuniti STEM4FUN anjuran Kolej Pengajian Kejuruteraan Universiti Teknologi Mara (UiTM) dengan kerjasama Institute Electrical Electronic Engineering (IEEE) Electron Devices Society (EDS) Malaysia.

Program berkenaan dianjurkan secara bersiri dengan melawat beberapa sekolah di sekitar Selangor, Negeri Sembilan dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bermula Julai lalu.

Ketua Projek yang juga pensyarah Kolej Pengajian Kejuruteraan UiTM, Prof Madya Ir Dr Ahmad Sabirin Zoolfakar berkata, sebanyak 30 sekolah akan menghantar wakil pelajar serta guru bagi setiap penganjuran program di sekolah terpilih.

"STEM4FUN adalah satu aktiviti pemindahan ilmu untuk memberi pendedahan dan memupuk minat pelajar sekolah terhadap mata pelajaran yang berteraskan sains, matematik, teknologi dan kejuruteraan (STEM) melalui demonstrasi penggunaan blok elektronik (Snap Circuits), drone, teknologi realiti tambahan (augmented virtual reality) dan robot.

"Pendedahan ini direncanakan dengan tujuan untuk menggalakkan pelajar memilih jurusan STEM di peringkat pengajian tinggi dan seterusnya kerjaya," katanya ketika ditemui pada Program STEM4FUN di Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 7 di sini, hari ini.

Beliau berkata, program itu membabitkan pendedahan teknologi terkini seperti teknologi hijau, penggunaan gajet atau peranti teknologi dalam memantapkan pemahaman pelajar dalam subjek STEM.

Katanya, ia juga pengalaman pembelajaran baharu mengenai STEM terutamanya dalam bidang peranti elektron.

"Aktiviti ini memberi pendedahan kepada pelajar untuk memperkasakan pengetahuan STEM dalam melahirkan modal insan berkemahiran dalam bidang STEM yang menjadi teras Revolusi Industri 4.0.

"Pelajar di sekolah perlu dipupuk dan diasah terhadap penggunaan teknologi menggunakan kreativiti, mengembangkan kemahiran dalam pemikiran kritis.

"Kecemerlangan murid STEM ini dapat menggalakkan penyelidikan, pembangunan dalam ciptaan baru dan inovasi," katanya.

Antara murid yang menyertai membuat beberapa eksperimen menggunakan Electronic Block pada Program STEM4FUN di Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 7, Shah Alam. FOTO FAIZ ANUAR
Antara murid yang menyertai membuat beberapa eksperimen menggunakan Electronic Block pada Program STEM4FUN di Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 7, Shah Alam. FOTO FAIZ ANUAR

Mengulas lanjut, Ahmad Sabirin berkata, selain beliau, projek berkenaan turut disertai lima ahli akademik lain iaitu Prof Ir Dr Norhayati Soin; Prof Madya Dr P Susthitha Menon; Dr Rozina Abdul Rani, Dr Maizatul Zolkapli dan Dr Azrif Manut.

Beliau berkata, projek itu mendapat sokongan penuh Pusat STEM Negara, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, Negeri Sembilan dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

"STEM4FUN ini juga dilaksanakan bersama Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) lain seperti Universiti Malaya (UM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan industri untuk mewujudkan Quadraple Helix antara entiti universiti, industri, agensi kerajaan, Kementerian Pendidikan Malaysia dan komuniti iaitu sekolah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 September 2022 @ 2:25 PM