MUHAMMAD Sanusi berucap pada Majlis Sambutan Aidilfitri Madani Kedah. FOTO Wan Nabil Nasir
MUHAMMAD Sanusi berucap pada Majlis Sambutan Aidilfitri Madani Kedah. FOTO Wan Nabil Nasir
M Hifzuddin Ikhsan


Alor Setar: Kerajaan negeri sedia bekerjasama dalam menyelesaikan isu penempatan Bukit Malut, Langkawi yang berlarutan sejak sekian lama.

Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kerjasama bersama kerajaan Persekutuan diperlukan kerana ia membabitkan kuasa di bawah Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Katanya, perkara itu dibangkitkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam Mesyuarat Khas Pembangunan Negeri Kedah yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim petang tadi.

"Projek ini di bawah MKN, mereka yang perlu selesaikan dan kerajaan negeri bersedia untuk beri bantuan yang diperlukan.

"Kita sedia bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan, kalau mereka sediakan tanah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) bersebelahan penempatan sedia ada untuk bina rumah kita sedia bantu.

"Di situ juga ada tanah Permodalan Kedah Berhad (PKB) dan tanah rizab kerajaan. Orang Bukit Malut sedia untuk beli rumah. Sekarang mereka nak beli tapi tidak ada penawaran," katanya.

Mesyuarat terbabit turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Turut hadir Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) serta barisan pentadbiran negeri.

Muhammad Sanusi berkata, mesyuarat lebih satu jam itu berlangsung dalam suasana harmoni apabila turut membincangkan pelbagai isu pentadbiran dan projek negeri.

"Banyak kita minta antaranya lapan projek yang yang disenaraikan dan berbelas-belas yang kita tak sebut dalam mesyuarat tapi dimasukkan dalam senarai.

"Tadi kita cuma sampaikan apa yang menjadi keutamaan kerajaan negeri. Ada perkara yang Perdana Menteri terus setuju, ada benda yang perlu kepada perincian di pihak kementerian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Mei 2024 @ 10:39 PM