LANGKAWI 30 MAC 2021. Tinjauan di perkampungan Bukit Malut. STR/LUQMAN HAKIM ZUBIR
LANGKAWI 30 MAC 2021. Tinjauan di perkampungan Bukit Malut. STR/LUQMAN HAKIM ZUBIR
Noorazura Abdul Rahman

Alor Setar: Kerajaan negeri mengarahkan pihak berkuasa di Langkawi bertindak menghalang tindakan pembesaran penempatan haram di Bukit Malut bagi mengelak ia terus 'merebak'.

Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor berkata, perkara itu perlu dilakukan sementara menunggu Majlis Keselamatan Negara (MKN) memindahkan penduduknya ke lokasi penempatan baharu.

"Kita tidak mahu penempatan di Bukit Malut ini terus merebak dan berkembang. Justeru kita mengarahkan semua penempatan haram baharu di Langkawi diambil tindakan undang-undang oleh pihak berkuasa.

"Saya difahamkan pihak Pejabat Daerah dan Tanah Langkawi sudah memulakan proses menguatkuasakan undang-undang di kawasan berkenaan," katanya ketika sidang media selepas menghadiri majlis menandatangani perjanjian usaha sama Projek Pembangunan Litar Lumba dan Resort Bersepadu Open Road di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Mengulas mengenai kemungkinan penduduk enggan berpindah, Muhammad Sanusi menegaskan sama ada penduduk bersetuju atau tidak, penduduk di penempatan haram itu tetap perlu berpindah ke kawasan yang ditetapkan nanti.

Menurutnya, begitu juga rumah baharu yang bakal didirikan perlu dibayar penduduk berkenaan kerana mereka kini adalah rakyat Malaysia.

"Bagi pihak kerajaan negeri, kita bersedia memberi kerjasama tetapi kos untuk bina rumah dan kemudahan di tempat baharu perlu ditanggung Kerajaan Persekutuan kerana projek asal ini sememangnya di bawah mereka sejak dulu lagi.

"Ketika ini pun segala maklumat mengenai penduduk seperti dokumen pendaftaran, perjalanan dan kerakyatan berada di MKN.

"Kerajaan negeri tiada rekod mengenainya tetapi apa yang kita tahu, kesemua mereka memiliki Mykad dan warganegara Malaysia," katanya.

Muhammad Sanusi menjelaskan penduduk di Bukit Malut dirancang untuk dipindahkan ke dua lokasi berhampiran di atas tanah milik Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada).

Katanya, kerajaan negeri sudah menyatakan persetujuan terhadap cadangan itu dan dan hanya menanti tindakan dari MKN untuk memindahkan mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Mac 2021 @ 2:55 PM