Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution (tengah) melihat Naskah Al Quran Braille pada Majlis Perjumpaan Bersama Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan Al-Quran KDN di  Raia Hotel & Convention Centre Terengganu. FOTO GHAZALI KORI
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution (tengah) melihat Naskah Al Quran Braille pada Majlis Perjumpaan Bersama Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan Al-Quran KDN di Raia Hotel & Convention Centre Terengganu. FOTO GHAZALI KORI
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Nerus: Kementerian Dalam Negeri (KDN) merampas 22,414 naskhah dan bahan al-Quran tanpa kelulusan di seluruh negara membabitkan rampasan yang dianggarkan bernilai lebih RM3.2 juta.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, rampasan itu dilakukan Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan menerusi operasi yang dilaksanakan bermula Januari hingga Jun lalu.

Beliau berkata, rampasan itu turut membabitkan naskhah dan bahan al-Quran yang dibawa masuk dari negara luar tanpa mendapat kelulusan Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Percetakan al-Quran KDN.

"Jadi ini kebanggaan kita (rampasan), jadi kalau nanti di sana kemasukan naskah al-Quran dari negara mana pun kalau untuk tujuan ia diedarkan dalam negara kita, mereka tertakluk kepada Akta Percetakan Teks Al-Quran 1986 (Akta 326).

"Jadi ini tanggungjawab kami adalah memastikan ketulenan dan itu sangat penting supaya kemuliaan dalam bentuk teks ini dapat terus dipelihara," katanya.

Beliau berkata demikian katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perjumpaan Bersama Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan Al-Quran (LPPPQ) KDN di sini hari ini.

Saifuddin berkata, KDN tidak akan menunggu masalah kesilapan dalam naskhah dan bahan al-Quran menjadi serius sebaliknya mengambil tindakan proaktif dalam usaha membendung masalah itu.

Katanya, penubuhan LPPPQ itu antara usaha KDN untuk memudahkan kawalan terhadap pencetakan, pengimportan, penjualan, penerbitan dan pengedaran kitab suci al-Quran dan bahan-bahan al-Quran dalam negara daripada sebarang penyelewengan demi menjaga kemuliaan dan kesucian al-Quran.

"Kita tak tunggu ia serius atau tidak, kita ambil sebagai tanggungjawab kita daripada segi sistem berkerajaan, kita mesti ada sistem yang telah ditetapkan

"Kita bagi tahu mereka bahawa kalau mereka hasilkan al-Quran versi digital sekali pun, bahagian pengawalan dan pelesenan ini ada keupayaan untuk menguruskannya.

"Jadi saya yakin dengan adanya kaedah ini, ia boleh mengurangkan sebarang potensi kalau berlaku kecacatan daripada segi penghasilan al-Quran versi digital," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Julai 2024 @ 12:34 AM