Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berucap pada Program Jelajah Akar Umbi Presiden UMNO di Kolej MARA Kuala Nerang hari ini. FOTO WAN NABIL NASIR.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berucap pada Program Jelajah Akar Umbi Presiden UMNO di Kolej MARA Kuala Nerang hari ini. FOTO WAN NABIL NASIR.
Noorazura Abdul Rahman


Kuala Nerang: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan pimpinan peringkat negeri terutama negeri pembangkang supaya menjaga percakapan bagi membina hubungan yang baik dengan Kerajaan Persekutuan.

Beliau berkata, adab menjaga lisan adalah asas yang penting terutama dalam membawa hasrat kerajaan negeri yang ingin dibawa kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Menteri Besar Kedah (Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor) akan berucap (Majlis Sambutan Aidilfitri Madani 2024 di Jitra) malam ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim (juga) akan berucap.

"Minggu lepas saya jumpa beliau (Sanusi) dalam satu mesyuarat, dan saya beritahu dia 'hang jangan melalut macam-macam dalam ucapan'. Jadi saya akan tengok malam ini, petang nanti pun ada perjumpaan (Taklimat Pembangunan Negeri Kedah) dengan Perdana Menteri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Jelajah Akar Umbi Presiden UMNO bersama UMNO Bahagian Padang Terap di sini, hari ini.

Turut hadir Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri yang juga Ketua Bahagian Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Beliau yang juga Presiden UMNO berkata, Anwar adalah pemimpin yang baik dalam mendengar apa saja hasrat kerajaan negeri untuk kepentingan rakyat.

Katanya, pimpinan Kerajaan Perpaduan mahu melakukan keadilan kepada rakyat dengan memberi keutamaan kepada kawasan yang terpinggir.

"Sebelum ini kita bagi, bagi dan bagi tapi bila hari pengundian ke laut. Kali ini kita nak bagi keadilan kepada semua dan kita mahu kawasan yang terpinggir dimajukan," katanya.

Sementara itu, Zahid berkata UMNO kini sudah belajar dari pengalaman dan sentiasa berhati-hati dalam menjalinkan kerjasama dengan parti lain.

"Kita belajar daripada pengalaman kita, jangan dipatuk ular yang sama dan di tempat yang sama termasuk 'ularmak', saya sungguh menghormati ulama tetapi tidak menghormati 'ularmak'.

"Pagi mereka cakap lain, petang mereka cakap lain, saya pernah bersama mereka dalam Muafakat Nasional (MN)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Mei 2024 @ 6:21 PM