DATUK Seri Anwar Ibrahim selepas selesai berucap pada Program Jelajah Perpaduan MADANI di Kampung Pachitan yang terletak dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Chuah di di sini malam ini. FOTO BERNAMA
DATUK Seri Anwar Ibrahim selepas selesai berucap pada Program Jelajah Perpaduan MADANI di Kampung Pachitan yang terletak dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Chuah di di sini malam ini. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Port Dickson: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru rakyat di Negeri Sembilan supaya memperkuatkan kerajaan negeri dan mempertahankan Datuk Seri Aminuddin Harun sebagai Menteri Besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu ini.

Beliau berkata dengan cara itu kerajaan negeri dapat bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan bagi memudahkan penyelesaian masalah rakyat di negeri ini.

"Kuatkan kerajaan negeri, pertahankan Datuk Seri Aminuddin Harun sebagai Menteri Besar," katanya ketika berucap pada Program Jelajah Perpaduan MADANI di Kampung Pachitan yang terletak dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Chuah di di sini malam ini.

Aminuddin, calon Pakatan Harapan (PH) bagi DUN Sikamat disaingi calon Perikatan Nasional (PN) Ahmad Raihan Muhamad Hilal dan dua calon Bebas, Bujang Abu serta Mohammed Hafiz Baharudin pada PRN, kali ini.

Anwar yang juga Presiden PKR dalam ucapannya turut menjelaskan tindakan beliau memilih Aminuddin sebagai calon Ahli Parlimen Port Dickson pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lepas kerana mengambil kira kredibliti Menteri Besar itu dalam menerajui negeri ini.

"Orang Port Dickson berjasa kepada saya...kita ada calon baik iaitu Menteri Besar Aminuddin, calon kuat... saya serah kepadanya. Saya bagi Menteri Besar setakat apa yang kerajaan negeri boleh buat, tetapi kalau memerlukan bantuan Kerajaan Persekutuan... itu tanggungjawab saya," katanya.

Beliau berkata tiga kawasan Parlimen yang istimewa baginya adalah Permatang Pauh, Pulau Pinang, Port Dickson dan Tambun di Perak.

Sementara itu, Anwar yang juga Pengerusi PH sekali lagi mengulangi bahawa kerjasama politik bersama UMNO adalah langkah tepat dalam pembentukan Kerajaan Perpaduan kerana kekuatan sokongan orang Melayu terhadap parti itu.

"Kita fikir masa depan rakyat.. ada baiknya UMNO kerana Melayu kuat.. kita jadi Kerajaan Perpaduan yang kuat," katanya.

Beliau berkata bagi tempoh lapan bulan Kerajaan Perpaduan, barisan kepimpinan bersih, tiada penyelewengan atau salah guna kuasa dilaporkan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Ogos 2023 @ 11:46 PM