GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Kaum lelaki didapati jarang menjaga kesihatan dan tidak mengesan penyakit pada peringkat awal menyebabkan jangka hayat mereka lebih pendek serta kadar kematian lebih tinggi jika dibandingkan dengan wanita.

Pakar Perubatan Keluarga, Unit Klinikal Hospital Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Wan Mohd Nazlee Wan Zainon berkata, kebanyakan mereka hanya datang ke hospital selepas mengalami masalah kesihatan yang teruk seperti sakit jantung ataupun strok.

Katanya, kaum lelaki didapati jarang mengambil berat mengenai penjagaan kesihatan dan sering mengambil mudah tahap kesihatan mereka.

"Mereka juga didapati lebih ramai mengamalkan gaya hidup yang tidak sihat seperti merokok, menghisap 'vape', minum arak serta sering terbabit dengan aktiviti yang berbahaya seperti lumba haram.

"Hal ini menyumbang kepada peningkatan jumlah pesakit dan jumlah kematian dalam kalangan kaum lelaki," katanya.

Beliau berkata, orang lelaki kebiasaannya dianggap maskulin serta tahan lasak dan masalah kesihatan yang sering dihidapi oleh golongan berkenaan ialah mati pucuk, masalah kesuburan, kesihatan mental serta gaya hidup tidak sihat seperti merokok.

"Disfungsi ereksi atau mati pucuk adalah salah satu masalah yang dialami oleh lelaki daripada pelbagai peringkat umur," katanya.

Katanya, penyebab utama masalah mati pucuk ialah disebabkan oleh penyakit kardiovaskular seperti sakit jantung, kencing manis, darah tinggi dan kolesterol.

"Penyakit kardiovaskular ini menyebabkan terjadinya penyumbatan saluran darah ke zakar (arterosclerosis) yang akhirnya menyukarkan ereksi terjadi. Statistik di Malaysia menunjukkan bahawa 80.4 peratus mati pucuk berlaku dalam kalangan pesakit kencing manis dan sakit jantung manakala 80 peratus pesakit terdiri daripada pesakit darah tinggi.

"Kajian terbaru menunjukkan mereka yang mengalami penyakit jantung dalam masa dua hingga tiga tahun sekiranya tidak dirawat puncanya akan menyebabkan mati pucuk," katanya.

Dr Wan Mohd Nazlee berkata, adalah penting untuk difahami bahawa ketidaksuburan boleh disebabkan oleh faktor yang berkaitan dengan kedua-dua pihak iaitu lelaki dan wanita

"Faktor lelaki menyumbang kepada kira-kira separuh daripada semua kes infertiliti bermula daripada masalah penghasilan, kualiti atau pergerakan sperma yang membuatkan pasangan sukar untuk hamil.

"Beberapa pilihan gaya hidup boleh memberi kesan kepada kesuburan lelaki seperti merokok, pengambilan alkohol berlebihan, penyalahgunaan dadah, obesiti dan pendedahan kepada toksin alam sekitar boleh mempengaruhi kesihatan sperma," katanya.

Katanya, pada masa sama, menghisap rokok atau 'vape' boleh memberi kesan serius kepada kesihatan seksual lelaki.

"Merokok merosakkan saluran darah dan mengurangkan aliran darah di seluruh badan termasuk zakar. Hal ini menyebabkan masalah prestasi seksual.

"Bahan kimia dalam rokok dan cecair 'vape' boleh mengganggu pengeluaran hormon dan aktiviti 'neurotransmitter' dalam otak yang boleh mengurangkan keinginan dan rangsangan seksual," katanya.

Beliau menyarankan kaum Adam untuk membuat pemeriksaan kesihatan sekurang-kurangnya setahun sekali dan hapuskan stigma lelaki lemah jika meminta atau mendapatkan bantuan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Mei 2024 @ 12:52 PM