ANWAR pada Majlis Perhimpunan Sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia 2024. FOTO L Manimaran
ANWAR pada Majlis Perhimpunan Sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia 2024. FOTO L Manimaran
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Datuk Seri Anwar Ibrahim menemplak pihak yang mempertikai keputusan kerajaan bagi menaikkan kadar gaji penjawat awam seperti pengumuman baru-baru ini dengan memberi contoh peranan serta pengorbanan penjawat awam khususnya daripada kalangan anggota beruniform.

Kata Perdana Menteri, peranan serta pengorbanan anggota pasukan beruniform seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), selain Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia dalam memastikan negara ini aman dan selamat tidak sewajarnya dilupakan.

"Saya ingin ingatkan bukan sahaja kepada pasukan, tetapi kepada masyarakat umumnya yang kadang-kadang berleter, mengeluh dan pertikai beberapa keputusan bila kita hendak berikan tambahan upah, gaji, dan pengiktirafan kepada perkhidmatan dan penjawat awam khususnya dalam keadaan ekonomi sekarang.

"Dia lupa negara ini aman, selamat dari kebakaran, selamat dari tanah runtuh; semuanya kerana perkhidmatan dan pengorbanan (JBPM). Kita lupa negara ini aman dan selamat kerana yang mengawal itu tentera, polis, bomba. Semua itu secara automatik ada jabatan yang bertanggungjawab tetapi kadang-kadang simpati dan kefahamannya kurang.

"Pembangunan ekonomi dan pengiktirafan negara luar membuat pelaburan di negara ini selain dari kerana politik stabil adalah kerana negaranya aman. Ia termasuk pelaburan RM10.5 bilion yang diumumkan sendiri oleh Microsoft dua hari yang lalu, bukan saya yang umumkan," katanya ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia 2024 (SHAB 2024) Peringkat Kebangsaan dekat Tambun, hari ini.

Hadir sama Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.

Anwar dalam pada itu mengulangi gesaan agar rakyat menolak pemimpin khususnya daripada kalangan Ahli Parlimen yang mengkritik bahkan menentang keputusan kerajaan menaikkan gaji penjawat awam tanpa alasan munasabah "Saya tahu ada yang mengkritik, daripada kalangan Ahli Parllimen yang menyatakan mungkin kenaikan itu tidak akan diluluskan (menerusi persidangan Parlimen). Saya nak tengok muka mana yang nak menentang kenaikan elaun dan gaji perkhidmatan awam," katanya.

Kata Anwar lagi, kadar peningkatan gaji penjawat awam 13 peratus yang diumumkan sebelum ini hanya secara menyeluruh, namun peningkatannya akan menyaksikan kadar mencecah 30 peratus kenaikan bagi mengurangkan jurang gaji antara pegawai serta kakitangan peringkat bawah.

Anwar berkata, beliau turut menghargai sumbangan dan pengorbanan oleh anggota JBPM yang bukan sahaja di dalam negara malah mengharumkan nama Malaysia di peringkat dunia.

"Tahun lalu bila selepas gempa bumi di Turkiye, setiap kali berjumpa dengan Presiden Turkiye, Reccep Tayyip Erdogan beliau tak pernah lupa tentang bukan sahaja kehadiran ramai penyelamat negara lain hadir tetapi dia 'salute' (tabik) kerana kecekapan, kekentalan, disiplin dan semangat kasih sayang ditunjukkan oleh rakan-rakan pasukan bomba dan penyelamat," katanya.

Hari Bomba Sedunia disambut pada 4 Mei setiap tahun dengan tema sambutan kali ini ialah "Bomba Tonggak Penyelamatan Negara."

Pada majlis itu, Anwar turut dihadiahkan dengan potret memori tahun 1997, yang mana ketika itu beliau merupakan individu penting dalam menjayakan misi memadam kebakaran rentas sempadan (Ops Jerebu) yang membabitkan 1,200 anggota.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Mei 2024 @ 12:18 PM