Muhamaad Razis Ismail


Kuala Lumpur: Bayaran Insentif Awal Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam sebanyak RM2,000 akan diberikan kepada semua penjawat awam gred 56 dan ke bawah termasuk lantikan kontrak dan ke bawah sementara Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam dilengkapkan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2024 berkata, kerajaan turut memberi RM1,000 kepada semua Jawatan Utama Sektor Awam termasuk polis, bomba, tentera, angkatan bersenjata dan seluruh anggota beruniform.

"Kerajaan sedang menyemak semula skim gaji dan elaun tetap penjawat awam yang kali terakhir dilaksanakan pada tahun 2012. Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) ini akan meneliti keperluan semua skim perkhidmatan dan dijangka dimuktamadkan pada penghujung tahun hadapan.

"Sementara menunggu kajian ini lengkap, sukacita diumumkan, kerajaan bersetuju untuk memberi Bayaran Insentif Awal Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam sebanyak RM2,000 kepada semua penjawat awam gred 56 dan ke bawah termasuk lantikan kontrak dan RM1,000 kepada semua Jawatan Utama Sektor Awam membabitkan termasuk polis, bomba, tentera, angkatan bersenjata dan seluruh anggota beruniform," katanya.

Dalam pada itu, Anwar berkata bayaran insentif RM1,000 turut dipanjangkan kepada semua pesara Kerajaan termasuk veteran berpencen serta veteran tidak berpencen.

"Bayaran ini akan dibuat secara sekali gus pada akhir Februari 2024 bagi meringankan beban persediaan persekolahan anak-anak serta persiapan menjelang Ramadan dan Syawal," katanya.

Terdahulu, dalam pembentangannya, Anwar berkata, kerajaan bersetuju supaya liputan Skim Ex-Gratia Bencana Kerja ditambah baik dan had siling gaji ditingkatkan daripada RM4,000 kepada Rm6,000 selaras dengan pindaan Skim Perkeso bagi sektor swasta.

"Kenaikan had siling gaji ini membolehkan kadar bayaran faedah di bawah Skim Ex-Gratia Bencana Kerja meningkat sehingga 50 peratus atau sekitar RM1.6 juta .

"Dengan kata lain, penjawat awam atau waris akan menikmati tuntutan pampasan yang lebih tinggi sekiranya berlaku kemalangan semasa

bertugas," katanya.

Dalam pembentangan itu, kerajaan turut menyarankan majikan swasta turut sama mengkaji kesesuaian saraan serta ganjaran kepada pekerja mengambil kira cabaran kos sara hidup semasa.

"Tahun hadapan, kerajaan akan mula mempergiat sesi libat urus. Saya menyeru untuk pihak swasta untuk memberi ganjaran

terutamanya syarikat yang mempunyai keuntungan yang munasabah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Oktober 2023 @ 6:58 PM