Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa. FOTO Arkib NSTP
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa. FOTO Arkib NSTP
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: 10 individu termasuk tiga lelaki warga asing yang ditahan kerana disyaki mempunyai kaitan dengan lelaki Israel, Avitan Shalom akan dibebaskan dengan jaminan polis, minggu depan.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, mereka akan dibebaskan sebelum tarikh reman tamat pada 14 dan 15 Mei ini.

"Bagi tiga lelaki warga asing yang ditahan itu, mereka akan diserahkan kepada pihak Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk tindakan lanjut.

"Meskipun akan dibebaskan nanti, kami (pihak polis) boleh panggil semula sekiranya diperlukan bagi membantu siasatan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di Balai Polis Jinjang, di sini, hari ini.

Pada 19 April lalu, Rusdi mengesahkan 10 daripada 18 individu ditahan semula mengikut SOSMA selama tempoh 28 hari bagi siasatan lanjut selepas tempoh reman mereka tamat pada 18 April lalu.

Mereka sebelum ini direman bagi siasatan lanjut mengikut Akta Senjata Api.

Menurut Rusdi, siasatan ke atas 10 suspek itu kini dijalankan mengikut Seksyen 130v(1) Kanun Keseksaan iaitu menganggotai kumpulan jenayah terancang.

Terdahulu, seramai 18 individu keseluruhan ditahan dengan tiga suspek iaitu Shalom dan pasangan suami isteri sudah pun didakwa di mahkamah, manakala lima lagi dibebaskan.

Pada 27 Mac lalu, Shalom yang memiliki pasport kewarganegaraan Perancis ditahan di hotel terbabit selepas dikesan memiliki enam pucuk pistol serta 158 butir peluru dalam beg miliknya.

- ends

#kw 10 individu, ditahan, lelaki Israel, polis, Kuala Lumpur

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Mei 2024 @ 10:08 PM