Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa mengadakan sidang media selepas Perhimpunan Bulanan IPK PDRM Kuala Lumpur di IPK Kuala Lumpur. FOTO AIZUDDIN SAAD
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa mengadakan sidang media selepas Perhimpunan Bulanan IPK PDRM Kuala Lumpur di IPK Kuala Lumpur. FOTO AIZUDDIN SAAD
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kuala Lumpur: Ketiga-tiga warga asing yang ditahan berhubung pembabitan mereka dengan lelaki Israel bersama enam pucuk senjata api, Avitan Shalom, sudah dihantar pulang ke negara asal.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, tujuh warga tempatan yang ditahan berhubung kes itu juga sudah dibebaskan pada Jumaat lalu.

"Ketiga-tiga lalaki (warga asing) dipindah keluar dari negara ini ke negara asal mereka, Amerika Syarikat, Turkiye dan Georgia, bermula kelmarin dan semalam.

"Ketiga-tiga suspek termasuk tujuh warga tempatan dibebaskan (sejak) 10 Mei lalu," katanya ketika ditemui pada Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Menurutnya, walaupun dibebaskan namun kesemua warga tempatan berkenaan boleh dipanggil semula bagi membantu siasatan sekiranya timbul maklumat atau saksi baharu berhubung kes itu.

Pada 27 Mac lalu, lelaki warga Israel yang memiliki pasport warganegara Perancis itu ditahan di sebuah hotel selepas dikesan memiliki enam pucuk pistol serta 158 butir peluru dalam beg miliknya.

Hasil siasatan awal Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Cawangan Khas (SB), mendapati lelaki itu memasuki negara ini menerusi penerbangan dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 12 Mac lalu.

Lelaki yang menggunakan pasport Perancis itu didakwa merancang membunuh ketua kepada satu keluarga kumpulan penjenayah yang berseteru dengan keluarganya.

Pada 19 April, Rusdi mengesahkan 10 daripada 18 individu ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) bagi membantu siasatan berhubung tangkapan ke atas Shalom.

Avitan dan sepasang suami isteri bagaimanapun sudah dituduh di mahkamah, manakala lima yang lain dibebaskan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Mei 2024 @ 11:34 AM