JAMBATAN itu dibuka kepada kenderaan ringan tidak melebihi had muatan 20 tan pada 27 Januari lepas. FOTO Mohd Rafi Mamat
JAMBATAN itu dibuka kepada kenderaan ringan tidak melebihi had muatan 20 tan pada 27 Januari lepas. FOTO Mohd Rafi Mamat
BERNAMA

Kuantan: Jalan Persekutuan (FT) 12 Jalan Kuantan-Segamat di Seksyen 102 (Kilometer 63 berhampiran kawasan burung unta) akan ditutup mulai 12 tengah malam Isnin depan hingga 6 Mei bagi memberi laluan kepada kerja-kerja penyenggaraan Jambatan Bailey.

Jabatan Kerja Raya (JKR) Pahang dalam satu kenyataan semalam memaklumkan, sepanjang tempoh itu, pengguna boleh menggunakan laluan alternatif yang dicadangkan dari kedua-dua arah iaitu Kuantan/Gambang ke Muadzam melalui Laluan FT 03 (Kuantan-Endau melalui bandar Pekan) dan Laluan FT 63 (Leban Condong-Muadzam Shah).

"Semua pengguna dinasihatkan untuk merancang perjalanan dengan lebih awal dan mematuhi arahan yang dikeluarkan dari semasa ke semasa. Segala kesulitan amatlah dikesali," menurut kenyataan itu.

Sebelum ini, tular satu video menerusi media sosial memaparkan jambatan Bailey itu mendap serta berlaku kesesakan lalu lintas di laluan terbabit sewaktu musim perayaan Aidilfitri.

Media melaporkan, peningkatan jumlah kenderaan berat terutama melebihi had muatan 20 tan dikenal pasti sebagai punca kerosakan jambatan berkenaan dan hasil pemantauan di tapak mendapati plat keluli yang menyambungkan ramp atau tanjakan ke jalan tuju, sudah rosak.

Jambatan yang bertujuan menghubungkan jalan terputus akibat banjir itu dibuka kepada kenderaan ringan tidak melebihi had muatan 20 tan pada 27 Januari lepas.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 April 2024 @ 9:52 AM