UYAINA dan Sugeeta bangga diberi peluang mengacara, mahu seluruh warga kuasai Bahasa Malaysia.
UYAINA dan Sugeeta bangga diberi peluang mengacara, mahu seluruh warga kuasai Bahasa Malaysia.
Najiy Jefri


Tanggal 31 Ogos 1957 adalah tarikh keramat Malaysia mencapai kemerdekaan serta bebas daripada penjajah. Kemerdekaan sebuah negara adalah antara nikmat serta kejayaan terbesar yang perlu dipertahankan setiap individu.

Biarpun hampir dua tahun sambutan hari bersejarah negara disambut dalam suasana berbeza disebabkan pandemik Covid-19, namun kita perlu bersatu serta berdiri teguh mengekalkan prinsip perjuangan sebenar bagi melepaskan belenggu kehidupan yang semakin mencabar pada masa ini.

Berpeluang menyatukan dua pengacara popular program TV3, Wanita Hari Ini (WHI) iaitu Uyaina Arshad dan Sugeeta Chandran sempena sambutan hari kemerdekaan negara ke-64 tahun ini, kedua-duanya tidak menunggu masa lama untuk menyatakan persetujuan.

Bertemu dua figura ini dalam satu sesi fotografi sememangnya satu pengalaman yang cukup mengujakan apabila Uyaina dan Sugeeta punya cerita hidup tersendiri dalam membina kerjaya sebagai pengacara.

Siapa sangka, selain melakar kejayaan sebagai pelakon dan pengacara popular di tanah air, Uyaina juga berjaya menerokai pasaran industri hiburan di Indonesia sejak 2018 menerusi beberapa tawaran pengacaraan.

Bagaimanapun, Uyaina terpaksa melupakan seketika kerjayanya di sana dan tidak akan ke Indonesia untuk tempoh sekurang-kurangnya dua tahun berikutan pandemik Covid-19 terus meningkat.

"Demi kesihatan diri dan keselamatan, saya nekad menyusun atur semula jadual kerja. Biarlah tahun ini saya berusaha mengukuhkan nama serta bakat seni di Malaysia saja. Saya mungkin tak akan ke sana dalam tempoh dua tahun selagi ada Covid-19," katanya yang merindui peminat dan rakan selebriti di Indonesia.

Berpeluang mengacarakan beberapa program realiti TV di negara jiran itu memberi satu catatan manis dalam hidupnya, apabila wanita berusia 29 tahun ini dapat membawa nama Malaysia sekali gus menyatukan hubungan antara dua negara.

"Setiap kali mengacarakan program hiburan di Indonesia, saya tidak malu untuk membawa nama Malaysia. Malah, saya sering menggunakan bahasa kebangsaan kita setiap kali mengacarakan program di sana.

"Kehadiran saya bukan saja untuk memperkenalkan bakat yang dimiliki, tetapi saya ingin menyatukan perpaduan di antara dua negara ini. Jika dilihat masyarakat di Malaysia dan Indonesia mempunyai banyak persamaan seperti sentiasa mengutamakan adab dan saling hormat-menghormati.

"Saya juga amat terharu dengan layanan baik yang diberikan masyarakat di Indonesia terhadap saya. Mereka menerima saya dengan penuh kasih sayang dan mempercayai bakat yang saya bawa dari Malaysia. Hubungan antara dua negara ini perlu sentiasa utuh dan dikekalkan," katanya.

Dua negara

Tambah Uyaina, sepanjang membina nama di Indonesia, masyarakat di Indonesia sentiasa ingin belajar dan mengetahui budaya masyarakat di Malaysia.

"Banyak bahasa Malaysia yang ingin mereka ketahui dan belajar. Begitu juga dengan saya yang selalu bertanya kepada rakan pengacara lain mengenai perkataan atau makna yang saya tidak jelas.

"Tapi apa yang saya kagum adalah mereka sentiasa nak belajar bahasa Malaysia dan mengetahui makna yang sebenar. Saya kira ini satu perkongsian yang cukup menarik kerana masing-masing dapat pelajari sesuatu.

"Saya sangat berharap kalau dua negara ini dapat bersatu dalam apa saja projek yang memberi kebaikan, selain dapat menyatupadukan masyarakat serumpun. Impian saya nak lihat dua negara ini mempunyai semangat kecintaan dalam apa juga dugaan yang mendatang," katanya.

Fasih bahasa Malaysia

Beralih mengenai kisah hidup Sugeeta Chandran, wanita berbangsa India ini antara bakat seni yang cukup luar biasa apabila kemampuannya bertutur dalam bahasa Malaysia dikagumi ramai.

Memiliki raut wajah yang jelita, Sugeeta yang sudah tiga tahun mengacarakan program WHI mengakui berbangga dengan peluang yang dimiliki kerana tidak ramai wajah pengacara berbangsa India dalam program popular itu.

"Sudah tentu saya rasa bangga apabila dapat menjadi sebahagian daripada keluarga WHI.

"Sebelum ini, saya difahamkan hanya ada seorang pengacara berbangsa India dalam program ini, kemudian selepas beberapa tahun saya pula diberi peluang dan ia ibarat mimpi jadi kenyataan," katanya.

Fasih bertutur dalam bahasa Malaysia, ramai yang tertanya-tanya bagaimana wanita ini begitu mahir menguasai bahasa Malaysia ketika mengendalikan program itu.

"Sejak kecil lagi, saya sudah didedahkan dengan penggunaan bahasa Malaysia sebab kawan-kawan dan jiran saya memang dalam kalangan Melayu.

"Lagipun sejak dibangku sekolah lagi saya memang suka dengan subjek bahasa Malaysia. Ada ketikanya saya menerima markah ujian peperiksaan lebih tinggi daripada kawan-kawan bangsa Melayu sendiri," katanya.

Sebagai warganegara Malaysia, Sugeeta berpendapat setiap individu sepatutnya mahir bertutur dalam bahasa Malaysia kerana ia adalah bahasa kebangsaan.

"Ramai yang datang dan menyatakan mereka kagum dengan penguasaan bahasa Malaysia saya sedangkan bahasa ini perlu dipelajari oleh setiap masyarakat di Malaysia.

"Sebagai rakyat Malaysia kita perlu ada kesedaran dan inisiatif untuk menguasai bahasa Malaysia dengan sebaik mungkin. Kalau anda dengar mak saya cakap bahasa Malaysia, pasti anda terkejut kerana dia lebih dahsyat sampaikan orang cakap dia orang Melayu.

"Begitu juga dengan saya orang ingatkan saya beragama Islam. Tapi apa yang saya nak sampaikan, kita kena fasih bahasa kebangsaan kita walaupun saya boleh bertutur dengan baik dalam bahasa Inggeris dan Tamil.

"Tapi saya akui bahasa Malaysia ada kekuatan yang saya miliki dan saya gunakan kelebihan ini dengan mengintai peluang menyertai keluarga WHI," katanya.

Ditanya mengenai erti kemerdekaan, Sugeeta berkata, kemerdekaan adalah satu sambutan untuk diraikan bersama sebagai bangsa Malaysia.

"Sejak kecil saya punya impian untuk mewakili negara dan mengharumkan nama Malaysia. Namun, peluang itu belum lagi tercapai. Tapi saya positif dan mengakui apa yang saya lakukan sekarang masih mewakili negara.

"Erti kemerdekaan bagi saya adalah sambutan yang diraikan secara bersama-sama sebagai bangsa Malaysia. Kita bukan nak lihat perbezaan kaum tapi penyatuan semua kaum dalam memastikan negara terus harmoni," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Ogos 2021 @ 6:00 AM