MENARA DBP
MENARA DBP
BERNAMA

PERISTIWA ini berlaku di sebuah klinik kesihatan, kira-kira dua tahun lalu. Ketika menunggu giliran, seorang pemuda Cina, saya kira berusia awal 20-an bertanya kepada saya dalam bahasa Mandarin.

"Kak, boleh tolong saya buat pendaftaran di kaunter. Saya tak faham bahasa Melayu. Boleh tak tolong terjemahkan apa nurse itu cuba sampaikan?" katanya sambil menghulurkan kad pengenalan beliau kepada saya.

Ketika itu, memang ramai orang di klinik. Kira-kira ada 10 pesakit sebelum tiba giliran saya untuk berjumpa dengan doktor. Melihatkan dirinya yang kelihatan serba salah di kaunter pendaftaran, maka saya bersetuju untuk membantu.

Selepas selesai urusan pendaftaran, sambil tunggu giliran, saya sempat lagi berborak dengan pemuda itu, yang hanya mahu dikenali sebagai Shin.

"Adik dulu sekolah mana? Sekolah persendirian Cina ke?" saya mulakan perbualan dalam bahasa Mandarin dengan Shin.

"Ya, betul, saya bekas pelajar sekolah persendirian. Kemudian melanjutkan pelajaran di Taiwan, baharu sahaja pulang ke Malaysia dan sedang mencari pekerjaan," kata Shin yang mahu mendapatkan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan di klinik itu. Sambil berbual, saya dapat merasakan Shin sebenarnya tidak yakin berkomunikasi dengan orang yang tidak bertutur sama bahasa dengannya. Ini berdasarkan pemerhatian saya ketika dia cuba bertutur dalam bahasa Melayu dengan jururawat.

"Kak sangat fasih berbahasa Melayu, tiada dialek Cina pun, dari mana kak belajar, ya?" Shin berasa hairan terhadap kefasihan bahasa Melayu saya.

"Saya membesar di kampung, selalu bertutur dalam bahasa Melayu dan bergaul dengan jiran dan kawan bukan Cina. Mula-mula saya tidak fasih tapi lama kelamaan saya paksa diri belajar bertutur dalam bahasa Melayu," saya berkongsi pengalaman ketika zaman persekolahan saya di kampung halaman di Kuala Krai, Kelantan.

Sebelum tiba giliran saya berjumpa doktor, saya sempat lagi berpesan kepadanya supaya mengukuhkan penguasaan bahasa Melayu dengan menghadiri kelas intensif terutama kepada graduan baharu tamat pengajian seperti beliau untuk memudahkan apabila menghadapi temu duga pekerjaan.

"Jangan takut membuat kesilapan, salah bertutur itu biasa, ia sebahagian daripada pembelajaran, ramai akan membantu awak nanti," pesanan saya sebelum mengakhiri perbualan kami.

Dalam masa yang sama, jauh di sudut hati saya, berasa sedikit kecewa dengan sikap golongan muda bukan Melayu yang memandang remeh tahap penguasaan bahasa kebangsaan dalam kalangan mereka.

Mungkin bagi mereka, bahasa Melayu hanya digunakan di Malaysia sahaja, bukan bahasa antarabangsa seperti bahasa Inggeris. Tidak dinafikan, faktor persekitaran dan sistem pendidikan amat mempengaruhi penguasaan bahasa seseorang, terutama bukan bahasa ibunda.

Namun, bukankah "Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan."

Memetik kata-kata Sasterawan Negara dan Pensyarah Kanan Fakulti Penulisan Kreatif Akademi Seni Budaya dan Warisan (Aswara) Dr Anwar Ridhwan, proses menguasai sesebuah bahasa perlu dipelajari dengan menyebut perkataan dengan betul terlebih dahulu sebelum beralih kepada perbendaharaan kata, tatabahasa atau nahu.

Langkah seterusnya proses berterusan mendengar, menulis dan membaca serta membiasakan diri bertutur dalam bahasa yang kita pelajari dengan penutur asli bahasa itu.

Saya masih ingat lagi ketika tinggal bersama datuk dan nenek di kampung halaman iaitu Kampung Guchil 4 (Kuala Krai, Kelantan). Mereka satu-satunya keluarga Cina dan kami dikelilingi jiran Melayu dan sebuah surau kampung.

Setiap petang selepas pulang dari sekolah, saya bermain dengan anak jiran berusia lima hingga 12 tahun di rumah mereka, kadangkala dipelawa ibu bapa mereka untuk makan bersama-sama.

Di situlah bermulanya pertuturan bahasa Melayu dengan mereka, walaupun dalam dialek Kelantan!

Walaupun bersekolah di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, saya tidak kekok bertutur dalam bahasa Melayu dengan guru Bahasa Melayu, sentiasa ditawar untuk menyertai pelbagai pertandingan dalam Bahasa Melayu termasuk pertandingan syarahan dan penulisan esei bagi menggilap kemahiran sebutan dan penguasaan tatabahasa.

Apabila melangkah ke sekolah menengah kebangsaan, saya berkawan dengan semua bangsa. Apabila saya silap menyebut perkataan, rakan Melayu membetulkan sebutan saya.

Saya juga banyak membaca buku dan novel Melayu ketika di sekolah rendah dan menengah. Saya masih ingat buku pertama Bahasa Melayu berjudul Saudara Kembar Di Sekolah Tengku Ashikin yang ditulis Enid Blyton. Buku-buku itulah membuatkan saya jatuh cinta dengan bahan bacaan Bahasa Melayu.

Perjalanan itu bukannya mudah namun dengan keinginan dan semangat untuk menguasai sesebuah bahasa yang agak kuat, akhirnya saya dapat bertutur dalam bahasa Melayu sama seperti penutur asli lain.

Ramai yang beranggapan masyarakat bukan Melayu tidak fasih berbahasa Melayu apabila mereka sering ditegur dalam Bahasa Inggeris, termasuk saya sendiri yang banyak kali mengalami situasi sebegini.

Namun demikian, apabila saya bertutur dalam Bahasa Melayu seperti mana petutur asli yang lain, kadang-kala ia mengejutkan banyak pihak.

Walaupun mereka memuji kebolehan saya berbahasa Melayu dengan baik, tetapi dalam masa yang sama saya agak sedih kerana tidak ramai masyarakat bukan Melayu yang fasih berbahasa Melayu.

Pekerja asing yang hanya datang beberapa bulan bekerja di Malaysia sudah boleh bertutur dalam bahasa Melayu dengan lancar, mengapa pula kita sebagai rakyat Malaysia tidak boleh menguasai bahasa kebangsaan dengan baik?

Masih belum terlewat kepada mereka yang langsung tidak boleh berbahasa Melayu untuk menguasai kemahiran bahasa dengan menghadiri kursus-kursus intensif, melatih diri sendiri bertutur dengan rakan-rakan dan membaca bahan bacaan Bahasa Melayu bermula sekarang.

Oleh itu, sebagai rakyat Malaysia, banggalah dengan bahasa kebangsaan kita kerana bahasa adalah jiwa bangsa.

Bagi saya, kelemahan Shin bertutur bahasa Melayu juga masalah yang dialami ramai bukan bangsa Melayu termasuk golongan muda.

Felo utama Institut Alam dan Tamadun Melayu (Atma) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Teo Kok Seong secara terus-terang berpandangan, punca utama masyarakat bukan Melayu tidak fasih berbahasa Melayu adalah kerana mereka tidak berani keluar dari zon selesa.

"Walaupun tidak semua, tapi golongan ini kurang yakin terhadap kemampuan bahasa Melayu untuk melonjakkan anak bangsa serta memajukan negara.

"Mereka hanya berkawan dalam kelompok mereka sahaja, bertutur dalam bahasa yang sama dan makan bersama-sama, jadi mereka berasa tidak selesa sekiranya berada dalam kelompok hanya mereka sahaja merupakan minoriti.

"Selain itu, sistem pendidikan juga faktor utama tercetusnya kelemahan dalam menguasai bahasa kebangsaan iaitu pendidikan vernakular yang hanya tertumpu kepada bahasa ibunda mereka sahaja.

"Sebab itulah jika mahu memartabatkan bahasa kebangsaan, sistem pendidikan satu aliran adalah lebih baik kerana cara itulah dapat memupuk semangat perpaduan sejak kecil," katanya.

Menurut beliau, ibu bapa juga memainkan peranan dalam mendidik anak supaya bergaul dengan rakan pelbagai kaum.

"Jika ibu bapa mereka tidak boleh menunjukkan contoh yang baik, bagaimana mahu mendidik anak-anak mereka supaya cintakan bahasa dan budaya serta memupuk semangat perpaduan?

"Mereka tidak memperlihat kebanggaan terhadap bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan sebaliknya hanya tertumpu kepada memartabatkan bahasa ibunda mereka sendiri, bagaimana hendak maju jika pandangan orang luar melihat kita sebagai rakyat Malaysia tetapi tidak boleh berbahasa kebangsaan?" katanya.

Tidak dinafikan figura dan ahli politik juga berperanan dalam memupuk semangat cintakan bahasa kebangsaan, terutamanya menerusi media sosial.

Dalam industri hiburan tanah air, tidak kurang juga beberapa artis bukan Melayu yang fasih bertutur dalam bahasa Melayu amat menyerlah dan diminati ramai seperti Dr Soo Wincci, Alvin Chong, Lim Mei Fen dan Angeline Tan.

Saya pernah menemu bual pelakon dan penerbit, Lim Mei Fen ketika pementasan 'Tanah Akhirku' di Istana Budaya kira-kira dua tahun lalu.

Meskipun pada mulanya langsung tidak boleh berbahasa Melayu, namun pembabitan dalam teater Melayu menjadikan beliau gigih mempelajari bahasa Kebangsaan sehinggalah boleh bertutur dengan lancar.

"Bahasa Melayu merupakan bahasa perpaduan yang menyatupadukan masyarakat berbilang kaum, jika saya tidak fasih berbahasa kebangsaan, saya akan berasa malu untuk bergaul dengan rakan-rakan bangsa lain menyebabkan saya tidak boleh melangkah keluar daripada zon selesa.

"Saya berasa bangga kerana sebagai artis bukan Melayu, saya bukan sahaja sebagai role model kepada masyarakat pelbagai kaum tetapi juga dapat mempromosikan semangat perpaduan dalam kalangan bukan Melayu," katanya.

(Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis)

Disunting oleh Melati Mohd Ariff

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Ogos 2020 @ 6:00 AM