ANGGOTA polis menjalankan siasatan di lokasi kemalangan. FOTO IPD Alor Gajah
ANGGOTA polis menjalankan siasatan di lokasi kemalangan. FOTO IPD Alor Gajah
Meor Riduwan Meor Ahmad

Alor Gajah: Seorang wanita warga emas maut manakala empat cedera termasuk cicitnya dalam nahas dua kenderaan di Jalan Kampung Paya Rumput, Masjid Tanah, dekat sini, tengah malam tadi.

Kejadian berlaku kira-kira 12.10 tengah malam ketika mangsa, Timah Abu,82, sekeluarga dalam perjalanan dari arah Masjid Tanah ke Lubok Redan menaiki kereta Proton Wira.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, pihaknya menerima laporan kemalangan itu pada jam 12.50 tengah malam membabitkan Perodua Axia dan Proton Wira.

Hasil siasatan katanya, mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta Perodua Axia dipandu seorang lelaki dari arah Kampung Ramuan China Besar hilang kawalan ketika melalui selekoh tempat kejadian lalu terbabas ke laluan bertentangan dan bertembung dengan kereta dinaiki mangsa.

"Pelanggaran itu menyebabkan mangsa bersama menantu, Noordin Mohamed Sali,50, yang memandu kereta, anaknya, Saadiah Mohd Yasin,46, dan cicitnya, Muhammad Megat Iskandar Muhammad Zulkalnain berusia enam tahun, cedera dan dirawat di zon kuning, Hospital Alor Gajah (HAG).

"Kira-kira jam 4 pagi, pihak hospital memaklumkan wanita warga emas itu disahkan meninggal dunia semasa dirawat.

"Pemandu Perodua Axia yang juga bilal Masjid Ramuan China Besar berusia 59 tahun turut cedera dan dirawat di zon merah hospital sama," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Ashari, mayat dihantar ke Unit Forensik HAG untuk dibedah siasat bagi menentukan punca sebenar kematian dan kenderaan terbabit ditahan di Balai Polis Trafik Alor Gajah untuk dibawa ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer.

Katanya, siasatan awal kemalangan berpunca akibat kegagalan mengawal kenderaan namun, siasatan lajut masih diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 April 2024 @ 3:41 PM