GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP.
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP.
BERNAMA

Melaka: Seramai 33 orang termasuk pelajar dan guru sebuah sekolah, di sini disyaki dijangkiti wabak Leptospirosis atau kencing tikus selepas mengunjungi kolam air panas, minggu lalu.

Pengarah Kesihatan Melaka Dr Ruzita Mustaffa berkata, pada 7 Jun lalu, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Melaka Tengah menerima notifikasi bahawa sekumpulan pelajar mengalami gejala demam, batuk, selesema dan sakit badan selepas mengikuti program terapi di kolam air panas berkenaan, dua hari sebelum itu.

"PKD Melaka Tengah dimaklumkan sebanyak 78 peserta terdiri daripada pelajar, guru, ibu bapa dan penjaga telah mengikuti program tersebut.

"Bagaimanapun, sebanyak 27 orang yang terdiri daripada 15 pelajar, sembilan guru dan tiga penjaga mengalami gejala demam, batuk, selesema dan sakit badan," menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata lima daripada mereka iaitu seorang penjaga dan empat pelajar telah dimasukkan ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut dan dalam keadaan stabi,l manakala kes bergejala lain menerima rawatan pesakit luar di Klinik Kesihatan Ayer Keroh.

Dr Ruzita berkata, enam kes baharu wabak itu dikesan dalam kalangan orang awam yang berkunjung ke kolam air panas berkenaan sepanjang tempoh 7 Jun hingga semalam dan sampel klinikal pesakit telah dihantar ke Makmal Kesihatan Awam Kesihatan (MKAK) Sungai Buloh untuk ujian pengesahan Leptospirosis.

Beliau berkata, berdasarkan penilaian risiko yang dijalankan ke atas kolam air panas itu mendapati persekitaran kawasan berkenaan adalah kondusif untuk penularan Leptospirosis.

Sampel persekitaran, katanya, turut dihantar ke MKAK Sungai Buloh untuk ujian pengesahan dan sebagai langkah kawalan, pusat rekreasi itu telah ditutup selama 14 hari bermula 8 Jun lepas.

"Pengusaha diarahkan untuk menjalankan kerja-kerja pembersihan dan diminta menukar air kolam secara kerap serta berjadual, menjaga kebersihan dan memastikan tiada infestasi tikus atau haiwan pembawa penyakit lain.

"Jabatan Kesihatan Negeri akan terus memantau perkembangan terkini kejadian kluster disyaki Leptospirosis ini serta meningkatkan kesiapsiagaan dalam melaksanakan tindakan pencegahan dan kawalan dengan kerjasama semua agensi yang berkaitan," katanya.

Dr Ruzita berkata, orang ramai juga dinasihat agar sentiasa menjaga kebersihan semasa berkunjung ke pusat rekreasi dan segera mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan berhampiran jika bergejala.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Jun 2024 @ 10:50 PM