PEMAIN Universiti Malaysia meraikan jaringan ketika menentang PDRM FC. FOTO X Malaysian Football League
PEMAIN Universiti Malaysia meraikan jaringan ketika menentang PDRM FC. FOTO X Malaysian Football League
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Tampil dengan status pasukan Liga Super tidak memberi pengertian buat PDRM FC apabila tumpas kepada Universiti Malaysia 0-3 pada aksi Piala FA yang berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS), sebentar tadi.

Universiti Malaysia yang beraksi di liga A1 Semi-Pro tidak menghalang mereka untuk tampil lebih menyakinkan apabila menguasai hampir keseluruhan tempoh perlawanan.

PDRM FC pula yang merehatkan ramai pemain utama dengan memberi peluang kepada tonggak muda untuk beraksi sekali gus menyebabkan jentera serangan mereka kurang mantap dalam usaha mencari gol buat pasukan.

Kemenangan itu juga menyaksikan Universiti Malaysia bakal menempah pertemuan sama ada juara bertahan, Johor Darul Ta'zim (JDT) ataupun Kelantan Darul Naim (KDN) FC pada suku akhir nanti.

Pada aksi terbabit, PDRM FC yang turun tanpa sebarang pemain import terpana seawal minit keempat selepas rembatan deras Mohd Syahir Abdul Rahman menerjah gawang kawalan Asri Muhammad.

Pasukan tuan rumah terus tersentak apabila dibolosi kali kedua hanya empat minit selepas gol pertama menerusi serangan balas pantas Universiti Malaysia yang disudahkan Muhammad Hadi Mohamad untuk pasukannya terus selesa 2-0 hanya dalam tempoh 10 minit pertama.

PDRM FC tampak bernasib baik apabila terselamat daripada ketinggalan tiga gol apabila percubaan Muhammad Hadi terkena tiang pada minit ke-16.

Bersambung babak kedua, Universiti Malaysia mengendurkan asakan apabila lebih banyak menyerap asakan daripada PDRM yang cuba mencari gol untuk mengurangkan defisit.

Beberapa siri serangan dilancarkan PDRM FC dengan peluang terbaik untuk meraih gol pertama hadir pada minit ke-65 menerusi sepakan percuma Shafizi Iqmal Md Khirudin namun percubaan itu menggegar palang lawan.

Universiti Malaysia akhirnya menamatkan sisa perjuangan PDRM FC dengan gol ketiga pada hujung permainan menerusi jaringan Muhammad Zharif Nazhan Refli.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Jun 2024 @ 10:43 PM