GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Kuala Lumpur: Mahkamah Majistret di sini, hari ini menjatuhi hukuman denda RM1,200 ke atas seorang suri rumah yang mengaku membuat laporan polis palsu bahawa dia diragut oleh dua individu sehingga menyebabkan kerugian lebih RM700,000.

Majistret Aina Azahra Tun Ariffin memerintahkan Karen Lee Chy Na, 35, dipenjara dua bulan jika gagal membayar denda.

Lee didakwa memberi maklumat palsu kepada Koperal Muhammad Sharil Zainal Abidin bahawa dia diragut oleh kedua-dua individu yang kemudian melarikan diri dengan pasport miliknya dan tiga utas jam tangan bernilai RM779,000.

Mengikut pertuduhan, perbuatan tertuduh telah menyebabkan Inspektor Ahmad Souffi Mohd Shaffei menjalankan kuasa-kuasa menyiasat mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di kaunter pertanyaan Balai Polis Travers, Brickfields, di sini pada 11.20 pagi 10 Jun lalu mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara enam bulan atau denda RM2,000 atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Izzat Amir Idham memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran manakala peguam Simret Singh dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan meminta denda ringan atas alasan anak guamnya hanyalah seorang suri rumah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Jun 2024 @ 11:18 PM