GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Ahmad Hasbi


Nilai: Dua individu maut selepas kereta dinaiki rentung selepas terbabit kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Bukit Mantin, dekat sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 10.20 pagi, kedua-dua mangsa terperangkap di dalam kereta jenis BMW yang terbakar 100 peratus.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Mantin Muhammad Efeendy Rahmad berkata, pihaknya mendapat panggilan mengenai kejadian itu pada jam 10.25 pagi sebelum bergegas ke lokasi.

"Jentera tiba 10 minit kemudian dan mendapati sebuah kereta sedang terbakar. Kami melakukan operasi pemadaman dan api berjaya dikawal lima minit kemudian.

"Kereta jenis BMW itu terbakar 100 peratus dan terdapat dua mangsa rentung. Identiti mereka belum dikenal pasti," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, mayat diserahkan polis untuk tindakan lanjut.

"Kami difahamkan kereta itu bertembung dengan sebuah lori milik syarikat pembersihan yang dinaiki tiga individu sebelum terbakar.

"Tiga mangsa yang menaiki lori mengalami kecederaan ringan dan dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar, Seremban untuk rawatan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 April 2024 @ 1:51 PM