ANGGOTA bomba memadamkan kebakaran kereta Honda City yang terbakar dalam kemalangan di Kilometer 16.7 Lebuhraya Pantai Baru (NPE) menghala ke Kuchai Lama, Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Ihsan Bomba
ANGGOTA bomba memadamkan kebakaran kereta Honda City yang terbakar dalam kemalangan di Kilometer 16.7 Lebuhraya Pantai Baru (NPE) menghala ke Kuchai Lama, Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Ihsan Bomba
Nurul Hidayah Bahaudin


PEMANDU kereta rentung selepas kenderaan dinaiki terbakar akibat kemalangan di Kilometer 16.7 Lebuhraya Pantai Baru (NPE) menghala ke Kuchai Lama, di Kuala Lumpur, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 4 pagi itu, mangsa dipercayai lelaki yang tidak dapat dikenal pasti identitinya disahkan maut selepas ditemui dalam keadaan rentung di tempat duduk pemandu dalam kereta itu.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Superintendan Sarifudin Mohd Saleh berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta Honda City dipandu mangsa yang bergerak dari arah pusat bandar hilang kawalan.

"Kereta itu kemudian melanggar tembok pembahagi jalan di tengah laluan sebelum terbabas ke lorong kanan menghala ke Kuchai Lama.

"Akibat pelanggaran itu, kereta berkenaan terbakar sepenuhnya, manakala mangsa yang berada di tempat duduk pemandu tidak berjaya menyelamatkan diri dan ditemui dalam keadaan rentung," katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Sarifudin berkata, mayat dihantar ke Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat.

"Sampel DNA akan diambil bagi mengenal pasti identiti mangsa.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur, Khirudin Drahman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 4.07 pagi tadi.

"Seramai tujuh anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pantai dikerahkan ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba di lokasi, kami mendapati kereta Honda City terbakar.

"Kami mengambil masa kira-kira lima minit untuk memadamkan kebakaran yang menyebabkan kereta itu musnah sepenuhnya," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Khirudin berkata, sebaik kebakaran berjaya dipadamkan, pihaknya menemui mangsa dalam keadaan rentung di tempat duduk pemandu.

"Tidak dapat dipastikan identiti dan jantina mangsa memandangkan mayat mangsa dalam keadaan rentung.

"Kes itu diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Ogos 2018 @ 1:52 PM