LAPORAN Terdahulu Harian Metro
LAPORAN Terdahulu Harian Metro
RoselanAb Malek


Temerloh: Seorang daripada mangsa rentung dalam kemalangan membabitkan kereta dan lori di Kilometer (KM) 28 Jalan Jerantut-Temerloh, Kuala Krau berhampiran jalan utama Kampung Dato Sharif Ahmad di sini, hari ini dikenal pasti sebagai lelaki berusia 35 tahun.

Ketua Polis Daerah Temerloh Asisten Komisioner Mohd Azhar Mohd Yusof berkata, mangsa yang dikenal pasti adalah lelaki berbangsa Melayu dari Kampung Pinang, Mukim Sok, Sik, Kedah yang menaiki kereta Proton Persona ketika kemalangan berlaku.

"Seorang lagi mangsa rentung, pemandu Proton Pesona yang juga lelaki dewasa, masih belum dikenal pasti identitinya.

"Polis masih meneruskan siasatan terperinci bagi mengesan identiti lelaki terbabit. Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan( APJ) 1987," katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Beliau berharap orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian itu supaya menghubungi talian 09-2716086 atau pegawai penyiasat trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Temerloh, Inspektor Nizam di talian 019-2343449 bagi membantu siasatan.

Terdahulu, kemalangan berlaku apabila kereta Proton Persona memotong digarisan berkembar sebelum dirempuh sebuah lori dengan muatan tanah dari arah bertentangan di lokasi kejadian.

Akibat kemalangan itu, kereta Proton Persona diseret lebih kurang 20 hingga 30 meter dan terbakar mengakibatkan dua lelaki menaiki kenderaan itu rentung.

Berita berkaitan

Dua rentung, kereta terbakar selepas bertembung lori [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 January 2023 @ 9:57 PM