Banduan warga emas, Karim (bukan nama sebenar) telah 22 tahun beraya dalam Penjara Penor. FOTO MOHD RAFI MAMAT
Banduan warga emas, Karim (bukan nama sebenar) telah 22 tahun beraya dalam Penjara Penor. FOTO MOHD RAFI MAMAT
Mohd Rafi Mamat


Kuantan: "Aidilfitri yang akan disambut minggu depan, genap 22 tahun saya menyambutnya di Penjara Penor," kata banduan Karim, 66 (bukan nama sebenar).

Dia yang sebelum ini bekerja sebagai nelayan pantai berkata, peringkat awal menyambut Aidilfitri di sebalik tirai besi amat sukar diterima dengan tekanan perasaan apabila takbir raya kedengaran pada pagi Syawal.

Katanya, perasaan sayu mengenangkan kesilapan sendiri yang terlalu mengikut hawa nafsu menambahkan lagi tekanan.

Menurutnya, kini selepas 22 meringkuk di dalam penjara, dia semakin dapat menerima hakikat hidup sebagai seorang banduan.

Katanya, semua aktiviti di dunia luar tembok penjara kini seolah begitu asing selepas sebahagian umurnya dihabiskan dalam penjara.

"Setiap kali Aidilfitri, ingatan terhadap anak muncul walaupun mereka membenci saya, mereka berhak membenci saya yang berdosa dengan mereka suatu ketika dulu.

"Hanya saudara sahaja yang akan datang melawat saya di penjara, mereka masih menerima saya," katanya yang menerima hukuman penjara 37 tahun kerana kesalahan merogol anak kandung.

Karim menambah, biarpun seribu kali dia menyesal atas kesilapan lalu, 'episod hitam' itu akan terus kekal sampai bila-bila.

Beliau berkata, dia hanya mampu berdoa dan memohon keampunan daripada Yang Maha Esa.

"Setiap kali Ramadan masa saya banyak dihabiskan dengan membaca al-Quran dan solat sunat Tarawih serta bangun malam untuk menunaikan solat sunat sambil berdoa. Hati saya kini tenang walaupun menjalani hukuman penjara.

"Saya akan bebas pada 2039 bermakna 15 tahun lagi saya perlu beraya dalam Penjara Penor," katanya ditemui di Penjara Penor, baru-baru ini.

Karim berkata, setiap kali Aidilfitri, dia dan banduan lain berpeluang makan nasi minyak dan ketupat segera.

Keluarga yang datang melawat turut membawa makanan yang disediakan pihak penjara.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 April 2024 @ 7:59 AM