ABDILAH sentiasa berbincang dengan pegawai penjara. Dia akan dibebaskan Jun ini. FOTO Mohd Rafi Mamat.
ABDILAH sentiasa berbincang dengan pegawai penjara. Dia akan dibebaskan Jun ini. FOTO Mohd Rafi Mamat.
Mohd Rafi Mamat


Kuantan: "Aidilfitri hari ini adalah kali ke 16 saya menyambutnya di sebalik tirai besi yang penuh dengan pengajaran sebagai balasan atas kesilapan dilakukan," kata banduan yang mahu dikenali sebagai Abdilah.

Menurutnya, satu Syawal dalam penjara pastinya tidak semeriah beraya di luar yang dikelilingi ibu bapa, keluarga dan rakan sambil menikmati pelbagai hidangan istimewa seperti rendang, ketupat, lemang serta kuih.

Katanya, walaupun pihak penjara ada menyediakan makanan istimewa seperti nasi minyak pada pagi Aidilfitri namun ia tidak sama rasanya dengan hidangan yang disediakan oleh ibu termasuk ahli keluarga di kampung.

"Aidilfitri kali ini amat bererti buat saya kerana ia menjadi Syawal terakhir berada dalam Penjara Penor, di sini sebelum dibebaskan pada 2 Jun depan. Mahkamah menjatuhkan hukuman 24 tahun penjara dan enam sebatan namun hukuman penjara dikurangkan kepada 16 tahun.

"Selama 16 tahun berada dalam tiga penjara terlalu banyak kenangan dan pengalaman bergelar banduan jenayah yang tidak mungkin dapat dilupakan sampai bila-bila.

"Sebagai anak bongsu daripada lapan beradik saya begitu manja dengan kedua ibu bapa dan adik beradik lain, apabila saya dijatuhkan hukuman penjara mereka semua seolah tidak percaya dengan apa yang terjadi," katanya yang berasal dari Sibu, Sarawak.

Abdilah adalah guru agama untuk mualaf di Selangor, namun pada 2007 dia dituduh meliwat seorang kanak-kanak berusia 12 tahun dan menerima hukuman 24 tahun penjara dan enam sebatan.

Dia melalui hukuman dengan penuh keinsafan, bermula 2007 hingga 2011 di Penjara Kajang, Selangor kemudian ke Penjara Sungai Udang, Melaka (2011-2017) dan Penjara Penor (2017-2023). Dia kini antara banduan baju biru (banduan peringkat khas).

Katanya, dia yang pernah mengislamkan 30 Orang Asli di Perak, berkata dia menerima hukuman enam sebatan pada 2010, hanya Allah saja yang mengetahui kesakitan yang menyebabkan dia pengsan.

Katanya, sebagai banduan baju biru dia mendapat keistimewaan apabila bergerak dalam penjara tanpa pengawasan pihak penjara, selain turut terbabit memantau dan pembimbing banduan lain serta menyertai program keagamaan.

"Tahun lalu ayah saya meninggal di kampung, namun sebagai banduan saya tidak berpeluang untuk menziarahi arwah buat kali terakhir. Saya reda dengan ketentuan takdir terhadap diri ini.

"Saya juga putus tunang dengan gadis berasal dari Perak selepas mahkamah menjatuhkan hukuman diatas kesalahan dilakukan.

"Saya yakin pasti ada hikmah di sebalik musibah yang berlaku pada dirinya, 16 tahun merengkuk dalam penjara cukup mengajar erti kehidupan dan kebebasan yang diperlukan individu bergelar banduan," katanya memiliki kemahiran menghasilkan sajak dan lagu sebagai penghibur hati dalam penjara.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 April 2023 @ 11:31 AM