BANDUAN di Penjara Penor kini berada dalam kawasan PKPD bermula esok. FOTO Mohd Rafi Mamat
BANDUAN di Penjara Penor kini berada dalam kawasan PKPD bermula esok. FOTO Mohd Rafi Mamat
Mohd Rafi Mamat


Kuantan: Seramai 200 kakitangan membabitkan dua penjara di negeri ini dijangkiti Covid-19 tahap satu dan dua sejak pandemik berkenaan melanda negara sejak tahun lalu.

Pengarah Penjara Negeri Pahang, Datuk Ab Basir Mohamad berkata, terkini seramai 57 kakitangan terdiri 10 kakitangan di Penjara Bentong serta 47 lagi di Penjara Penor dijangkiti dan sedang dikuarantin.

Menurutnya, turut dijangkiti Covid-19 ialah 77 ahli keluarga mereka, iaitu 37 orang di Penjara Bentong manakala 40 orang di Penjara Penor.

Katanya, kakitangan dan ahli keluarga yang positif menjalani proses kuarantin di rumah termasuk Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Bentong dan daerah ini.

"Penularan wabak Covid-19 di dalam penjara berpunca daripada kemasukan banduan baharu walaupun semua prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) diambil pihak penjara.

"Kita kini mengetatkan lagi SOP membabitkan semua banduan yang akan ditempatkan di penjara, di mana peringkat pertama banduan perlu menjalani kuarantin selama 14 hari selepas itu mereka sekali lagi dikuarantin selama 10 hari sebelum disahkan bebas Covid-19.

"Semua banduan yang dihantar ke penjara oleh pihak berkuasa terlebih dahulu perlu menjalani ujian calitan (swab) disediakan KKM," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Beliau berkata, terdapat juga kes jangkitan Covid-19 di penjara berpunca daripada keluarga kakitangan penjara, namun jumlahnya hanya sedikit.

Menurutnya, bagi memastikan penularan wabak Covid-19 di penjara tidak terus berlaku, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksanakan kerajaan di dua penjara di negeri ini.

Katanya, Penjara Bentong menjalani empat kali PKPD berturut-turut sejak pertengahan Julai lalu hingga 17 September ini dan Penjara Penor dilaksanakan PKPD buat kali pertama bermula esok selama dua minggu.

"Sejak penularan wabak Covid-19 di dalam penjara, kita terpaksa menangguhkan semua aktiviti membabitkan banduan seperti latihan kemahiran termasuk kelas agama.

"Kakitangan penjara juga berdepan cabaran baharu apabila terpaksa mengenakan kelengkapan perlindungan diri (PPE) sepanjang bertugas bagi mengelak dijangkiti selain berlaku penularan tanpa disedari.

"Walaupun 90 peratus kakitangan penjara terbabit sudah menerima suntikan vaksin Covid-19, namun usaha pencegahan tetap dilakukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 September 2021 @ 5:57 PM