Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Khaw Kok Chin (dua dari kanan) menunjukkan dadah jenis Syabu yang dirampas pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, Shah Alam. FOTO FAIZ ANUAR
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Khaw Kok Chin (dua dari kanan) menunjukkan dadah jenis Syabu yang dirampas pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, Shah Alam. FOTO FAIZ ANUAR
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Polis merampas sejumlah 312.7 kilogram (kg) dadah jenis syabu yang dianggarkan bernilai RM10.3 juta menerusi serbuan ke atas sebuah rumah di Shah Alam pada Rabu lalu.

Turut ditahan semasa serbuan berkenaan adalah empat lelaki tempatan berusia 23 hingga 40 tahun yang berperanan sebagai 'transporter' dan kordinator.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Khaw Kok Chin berkata serbuan pada jam 7.30 malam itu dilakukan hasil maklumat awam dan risikan polis.

"Hasil serbuan di rumah teres berkawalan keselamatan itu menemui 312.7 kilogram dadah jenis syabu yang dianggarkan bernilai RM10.3 juta yang disembunyikan dalam tiga kenderaan di rumah itu.

"Dadah berkenaan dipercayai dibawa masuk dari negara jiran di utara Malaysia dan dibawa ke Lembah Klang dengan kereta. Ia dipercayai untuk pasaran sekitar Lembah Klang dan luar negara," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini, hari ini.

Beliau berkata, serbuan yang sama turut dilakukan masing-masing oleh JSJN Terengganu dan Kedah bagaimanapun, tidak membawa kepada sebarang penemuan.

Katanya, siasatan lanjut juga mendapati kesemua suspek tidak memiliki sebarang rekod kesalahan jenayah lampau serta hasil ujian saringan air kencing juga mendapati kesemua suspek negatif dadah.

"Siasatan kami mendapati keempat-empat suspek itu berperanan sebagai transporter dengan menerima upah antara minimum RM15,000 dan maksimum RM30,000 untuk membawa masuk dan mengedar bekalan dadah itu di Lembah Klang serta menyeludup ke luar negara.

"Salah seorang suspek adalah pengurus bas persiaran yang berperanan sebagai kordinator urusan dadah dengan upah RM30,000 untuk satu perjalanan manakala tiga lagi suspek masing-masing pemandu bas dan dua peniaga kosmetik berperanan sebagai transporter.

"Sindiket ini dipercayai aktif sejak Oktober tahun lalu," katanya.

Khaw berkata, kesemua suspek direman selama enam hari sehingga 2 April ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Katanya, pihaknya juga sedang melakukan siasatan untuk mengenalpasti dalang utama yang berperanan di sebalik sindiket dadah berkenaan.

"Setakat ini tiada sebarang petunjuk yang boleh mengaitkan sindiket ini dengan kongsi gelap bagaimanapun siasatan lanjut masih dijalankan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Mac 2024 @ 5:25 PM