GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Pegawai agensi penguat kuasa yang bertindak sebagai 'transporter' sindiket pengedaran syabu terbesar di Sabah sudah diberkas polis.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, suspek berusia 43 tahun yang bertugas di Lembah Klang itu ditahan pada 29 Disember lalu dan menjadi individu ke-11 yang diberkas bagi membantu siasatan berhubung sindiket.

Katanya, siasatan mendapati suspek dipercayai berperanan sebagai 'transporter' bagi sindiket terbabit dan sebelum ini pernah bertugas di Sabah.

"Dengan tangkapan ini menjadikan keseluruhan tangkapan (mengikut) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) seramai 11 orang," katanya pada sidang media di Bukit Aman di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Pelaksanaan Usahasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bersama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Hadir sama, Naib Canselor UKM, Prof Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd

Kamarudin Md Din.

Mengulas lanjut, Ayob Khan berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan akan ada tangkapan baharu dan buat masa ini proses operasi dan siasatan masih berjalan.

"Pada masa ini, proses soal siasat masih berjalan dan pada masa sama, kita masih menyiapkan kertas siasatan sebelum diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC)," katanya.

Ayob Khan berkata, polis turut melakukan sitaan dan rampasan atas pelbagai aset dan akaun bank milik anggota sindiket berkenaan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

"Kita juga akan berkolaborasi dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk memastikan aset-aset semua anggota sindiket ini diambil tindakan mengikut AMLATFPUAA.

"Setakat ini ada 22 akaun bank yang telah dibekukan membabitkan bernilai RM420,000; sebanyak 18 kenderaan disita bernilai RM6.6 juta, kebanyakannya kenderaan mewah; wang tunai RM35,000; barang kemas dan jam mewah dianggarkan RM100,000," katanya.

Sebelum ini, Ayob Khan dalam satu sidang media 26 Disember lalu, memaklumkan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah jenis syabu terbesar di Sabah, yang disyaki mula beroperasi sejak 2015.

Serbuan dilakukan jam 2.45 pagi, 25 Disember lalu di sekitar Kota Kinabalu, Tawau dan Semporna itu, hasil kerjasama antara JSJN Bukit Aman dan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM).

Dalam serbuan itu polis menahan 10 lelaki, termasuk dalang utama sindiket pengedaran dadah berkenaan yang juga penaung sebuah badan bukan kerajaan (NGO) berusia 40 tahun.

"Siasatan awal mendapati, sindiket ini memperoleh bekalan dadah dari negara jiran sejak 2015 dan mereka menyeludup masuk bahan terlarang itu ke Sabah untuk pasaran sekitar negeri terbabit, selain turut diseludup ke Indonesia dan Filipina.

"Semua suspek yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 130V Kanun Keseksaan (Kesalahan Jenayah Terancang) dan prosedur siasatan di bawah SOSMA.

"Siasatan di bawah SOSMA adalah bagi membolehkan pembanterasan kegiatan jenayah berkaitan sindiket secara menyeluruh," katanya.

Ayob Khan berkata, sembilan lagi yang ditahan adalah seorang peniaga berusia 36 tahun dan pembantu peribadi berusia 48 tahun yang juga orang kanan sindiket berkenaan, penjawat awam berusia 44 tahun yang juga pegawai sebuah agensi penguatkuasaan berperanan sebagai transporter bagi sindiket serta seorang buruh berusia 34 tahun yang berperanan sebagai keldai dadah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 January 2024 @ 12:14 PM