Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Khaw Kok Chin (tiga kiri) bersama Timbalan ketua Polis Selangor, Datuk S. Sasikala Devi (empat kiri) menunjukkan dadah yang berjaya dirampas pada sidang media kejayaan menumpaskan sindiket pemprosesan dan pengedaran dadah bernilai RM7.5 juta di Balai Polis Semenyih. FOTO HAZREEN MOHAMAD
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Khaw Kok Chin (tiga kiri) bersama Timbalan ketua Polis Selangor, Datuk S. Sasikala Devi (empat kiri) menunjukkan dadah yang berjaya dirampas pada sidang media kejayaan menumpaskan sindiket pemprosesan dan pengedaran dadah bernilai RM7.5 juta di Balai Polis Semenyih. FOTO HAZREEN MOHAMAD
Oleh Raja Noraina Raja Rahim


Kajang: Berselindung di sebalik syarikat kawalan keselamatan bagi menjalankan aktiviti memproses dan mengedar pelbagai jenis dadah.

Taktik sindiket yang menjalankan aktiviti secara pindah-randah itu bagaimanapun dibongkar menerusi sembilan serbuan termasuk di kediaman dijadikan makmal dan stor haram membabitkan rampasan bernilai lebih RM8.64 juta.

Serbuan pada 5 Jun oleh pasukan khas Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman itu turut menahan 17 individu termasuk dalang utama, berusia 18 sehingga 50 tahun.

Pengarah JSJN Datuk Khaw Kok Chin berkata, bertindak atas maklumat, pasukan menjalankan serbuan bermula jam 1.10 tengah hari sehingga jam 9.30 malam di sekitar Kajang, Selangor dan Cheras, Kuala Lumpur.

"Dalam operasi itu, 17 individu termasuk tujuh warga asing ditahan selepas disyaki terbabit dengan aktiviti memproses dan mengedar dadah.

"Mereka yang ditahan terdiri daripada sembilan lelaki tempatan, enam lelaki warga Pakistan, seorang wanita tempatan dan seorang wanita warga Vietnam," katanya pada sidang media di Balai Polis Semenyih di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Pengarah JSJN (Risikan/Operasi) Datuk Zainudin Ahmad; Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk S Sasikala Devi dan Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan.

Khaw berkata, pihaknya menyerbu unit apartmen dan sebuah rumah di kawasan perindustrian yang dijadikan makmal memproses dadah serta stor penyimpanan dadah.

Menurutnya, pemeriksaan menemukan 526.75 kilogram (kg) meth oil; ketamin (409 gram); heroin (504 gram); pil erimin 5 (10,000 biji); dan serbuk mdma (1.11 kg) selain merampas pelbagai peralatan memproses dadah, cecair serta serbuk kimia.

"Sindiket menyewa apartmen dan rumah untuk dijadikan tempat memproses serta menyimpan dadah. Semakan mendapati, kediaman berkenaan baru disewa dalam tempoh seminggu sebelum serbuan dan sindiket menjalankan aktiviti secara berpindah-randah bagi mengaburi pihak berkuasa.

"Sindiket juga menggunakan perkhidmatan kurier untuk mengedar dadah bagi pasaran tempatan terutama sekitar Lembah Klang.

"Suspek berselindung di sebalik syarikat pengawal keselamatan sah yang mana empat ahli sindiket turut bekerja sebagai penyelaras dan pengawal keselamatan di syarikat berkenaan," katanya.

Menurut beliau, semakan mendapati, enam suspek mempunyai rekod jenayah lampau dan empat suspek positif dadah.

Kata beliau, lapan kenderaan iaitu BMW, Honda HRV, Honda CRV, Honda Civic, Honda City, Perodua Myvi, Toyota Hilux dan motosikal Honda EX5, pelbagai matawang serta barang kemas disita mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988.

Tambahnya, kesemua rampasan dan sitaan itu dianggarkan berjumlah RM8.64 juta.

Khaw berkata, kesemua suspek direman tujuh hari sehingga 12 Jun ini bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Jun 2024 @ 4:22 PM