BERNAMA

Georgetown: Polis Pulau Pinang menahan seorang pendawai elektrik lelaki yang disyaki menjadi 'transporter' dadah dan merampas 157.185 kilogram (kg) syabu bernilai RM5.187 juta dalam Operasi Tapis di Bandar Cassia, Batu Kawan dekat sini, semalam.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Khaw Kok Chin berkata suspek berusia 34 tahun itu ditahan pada 12.50 tengah hari hasil maklumat awam dan risikan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS).

"Polis mendapat maklumat terdapat kegiatan pengedaran dadah di kawasan Bandar Cassia sebelum menjalankan pemerhatian di kawasan premis perniagaan di situ dan mendapati terdapat Honda HRV tanpa pemandu dalam keadaan mencurigakan di kawasan parkir.

"Ketika pemantauan dijalankan, sebuah Perodua Bezza dipandu suspek tiba ke kawasan parkir tersebut sebelum bertindak memindahkan sejumlah guni dari Honda HRV ke Perodua Bezza," katanya pada sidang akhbar hari ini.

Katanya polis kemudian menyerbu kedua-dua kereta berkenaan dan suspek cuba bertindak melarikan diri namun tidak berjaya kerana kawasan berkenaan telah dikepung.

Khaw berkata hasil pemeriksaan polis menemukan enam guni mengandungi 150 bungkusan plastik teh cina yang disyaki terdapat dadah jenis syabu seberat 157.185 kilogram kg syabu bernilai RM5.187 juta.

Katanya siasatan awal mendapati dadah syabu itu dibawa masuk dari Thailand dengan menggunakan jalan darat oleh ahli sindiket pengedaran dadah tersebut dan membawanya ke kawasan Bandar Cassia menggunakan Honda HRV yang disewa.

"Lelaki (pendawai elektrik) itu datang dari Lembah Klang untuk mengambil semua syabu tersebut dan menyewa Perodua Bezza tersebut untuk menjalankan kegiatan sebagai transporter.

"Suspek dipercayai telah beberapa kali menjalankan kegiatan tersebut dan menerima upah sehingga RM5,000 bagi setiap perjalanan mengambil dadah di Pulau Pinang. Polis kini giat mengesan rangkaian sindiket pengedaran dadah tersebut," katanya.

Beliau berkata polis turut merampas kedua-dua kereta itu dan kesemua syabu yang dirampas boleh digunakan oleh 926,000 penagih dadah.

Foto hiasan
Foto hiasan

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Oktober 2023 @ 3:42 PM
KHAW (tiga dari kanan) menunjukkan dadah jenis syabu bernilai lebih RM5 juta yang dirampas selepas menahan lelaki tempatan, pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Pulau Pinang. FOTO Mikail Ong.
KHAW (tiga dari kanan) menunjukkan dadah jenis syabu bernilai lebih RM5 juta yang dirampas selepas menahan lelaki tempatan, pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Pulau Pinang. FOTO Mikail Ong.