Laporan Harian Metro sebelum ini.
Laporan Harian Metro sebelum ini.
Amir Hamzah Nordin


Bentong: Dua maut manakala 11 cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah bas persiaran yang terbalik di KM 51.4 arah timur berdekatan Lentang, Lebuhraya Kuala Lumpur - Karak dekat sini pada jam 7.53 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, mangsa yang maut termasuk seorang lelaki warganegara asing dan seorang lagi penumpang wanita yang masih belum dikenal pasti.

"Pemandu bas berkenaan mengalami kecederaan parah dan seorang wanita warga tempatan mengalami kecederaan serupa.

"Sebelas penumpang lain mengalami kecederaan dan lima terselamat. Bas tersebut yang bertolak dari TBS menghala ke Kuantan dengan membawa seramai 20 penumpang termasuk pemandu," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Katanya, Pusat Kawalan Daerah (DCC) IPD Bentong menerima panggilan mengenai kejadian kira-kira jam 8 pagi tadi.

Sementara itu, Komander Operasi, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bentong, Badrul Hisham Saari berkata seramai 19 anggota bomba bergegas ke tempat kejadian bersama lima jentera.

"Anggota bomba berjaya mengeluarkan seorang wanita yang tersepit dengan menggunakan peralatan khas dan mangsa dihantar ke Hospital Bentong," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mac 2024 @ 12:40 PM