GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP.
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP.
BERNAMA

Putrajaya: Kuasa untuk membekukan permit pemindahan padi antara negeri adalah di bawah Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 [Akta 522] melalui fungsi Ketua Pengarah KPB, demikian menurut Kawalselia Padi dan Beras (KPB).

Dalam kenyataan hari ini, KPB memaklumkan kenyataan kerajaan Terengganu yang mengeluarkan arahan pembekuan perpindahan padi adalah tidak tepat dan mengelirukan.

Menurut KPB berkuat kuasa 20 Jun 2023, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) melaluinya sudah membekukan semua permohonan permit perpindahan padi daripada ke luar negeri.

"Langkah ini adalah satu langkah intervensi KPKM bagi mengatasi isu bekalan beras setempat serta mengambil kira kebajikan petani," menurut kenyataan itu.

Menurut KPB Arahan pembekuan permohonan perpindahan padi itu masih lagi berkuat kuasa sehingga kini.

Bagaimanapun, sekiranya terdapat lebihan hasil padi di dalam negeri dan terdapat keperluan untuk menjual padi merentasi negeri, permohonan boleh dikemukakan di pejabat KPB negeri untuk pertimbangan dan kelulusan Ketua Pengarah KPB.

Pada 26 Mac lalu, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri Terengganu Dr Azman Ibrahim dilaporkan berkata kerajaan negeri membeku permit pemindahan padi keluar dari negeri itu.

Beliau berkata arahan itu antara mekanisme kawalan bagi mengelakkan hasil padi negeri dijual ke negeri lain.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mac 2024 @ 4:56 PM