Muhammad Sanusi ketika berucap pada Perhimpunan Solidariti Palestin  di Dataran Zero di sini, hari ini. FOTO Noorazura Abdul Rahman
Muhammad Sanusi ketika berucap pada Perhimpunan Solidariti Palestin di Dataran Zero di sini, hari ini. FOTO Noorazura Abdul Rahman
Noorazura Abdul Rahman


Sungai Petani: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu membuat serbuan ke atas lebih banyak kilang beras di negeri ini bagi memastikan beras tidak disimpan melebihi permit yang dibenarkan.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, terdapat 67 kilang di Kedah iaitu 15 daripadanya milik Bumiputera, 41 bukan Bumiputera dan 11 kilang Padiberas Nasional Berhad (Bernas) dengan sembilan daripadanya tidak aktif.

"SPRM (perlu) serbu lebih banyak kilang di Kedah ini. Saya (sudah) senaraikan hari itu perlu diserbu semua, Kawalselia Padi dan Beras (KPB), SPRM dan polis kena serbu tengok kilang-kilang simpan beras berdasarkan permit dia atau tidak.

"Mana yang langgar peraturan tangkap, bungkus, tutup kilang itu. Terima kasih tapi kena tegas, semua penguat kuasa kena tegas. Serius dalam kerja ini. Saya cakap lama dah, cuma saya tidak diberi bidang kuasa itu.

"Saya tak ada kuasa nak arahkan, tapi ada juga netizen kata awat (kenapa) MB tak pi check (periksa) sendiri. Kerajaan negeri tak ada kuasa itu. Dia (bidang kuasa) berada di bawah KPKM (Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Perhimpunan Solidariti Palestin di Dataran Zero, di sini, hari ini.

Semalam, media melaporkan lima kilang di Kedah diserbu SPRM susulan siasatan penyelewengan pemberian subsidi kepada petani yang menjual beras tempatan kepada kilang dilesenkan.

Muhammad Sanusi berkata, agensi di bawah KPKM perlu membuat kajian terperinci mengenai sumber beras negara dan mengemas kini keperluan negara dari semasa ke semasa.

Katanya, apabila berlaku krisis beras, Kedah dijadikan 'kambing hitam' sedangkan kerajaan banyak memuji Selangor dan Pulau Pinang sebagai pengeluar beras yang tinggi.

"Dia dok puji Sekinchan dan Seberang Perai hasil beras yang banyak, tiba-tiba mai masalah beras, tala (tunjuk) kat Kedah. Kena beri perhatian kepada rantaian beras, selesai tanam selesai tuai, kementerian kena pastikan betul-betul, ikut undang-undang.

"Jangan cari kambing hitam, itu semua kuasa kementerian, dua tahun saya cakap ada kartel dalam industri padi, (bila) mahal baru sedar ada penyorokkan jualan beras tempatan, meletup depa turun harga.

"Janganlah mempolitikkan semua benda. Dia (KPKM) yang jadi tak buat kerja, apa ni pasal asyik main politik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Oktober 2023 @ 6:54 PM