WAKIL petani menunjukkan padi mereka rosak tenggelam banjir di Kampung Gong Ubi Keling, Jabi, Besut. FOTO Nurul Fatihah Sulaini
WAKIL petani menunjukkan padi mereka rosak tenggelam banjir di Kampung Gong Ubi Keling, Jabi, Besut. FOTO Nurul Fatihah Sulaini
Faizul Azlan Razak


Kuala Terengganu: Kerajaan negeri membekukan permit pemindahan bagi mengelakkan hasil padi Terengganu dijual ke kilang di negeri lain.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Teregganu Dr Azman Ibrahim berkata, pihak kerajaan menerusi Jawatankuasa Padi Negeri Terengganu mempunyai mekanisma kawalan bagi mengelakkan perkara itu berlaku.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jabi berkata, Terengganu satu-satunya negeri yang mengawal hasil padi dari dijual keluar dengan kerjasama Padiberas Nasional Berhad (Bernas).

"Justifikasi kawalan itu ialah disebabkan ketidakcukupan padi dalam kalangan pengilang tempatan dan hasil padi dalam Terengganu.

"Penubuhan jawatankuasa ini bagi membincangkan isu padi membabitkan semua jabatan, agensi dan badan berkaitan dalam kluster padi di Terengganu.

"Kerajaan negeri melalui bahagian Kawalselia Padi Beras Negeri Terengganu juga sudah melaksanakan beberapa langkah kawalan bagi tujuan itu," katanya.

Mengulas lanjut, Dr Azman berkata arahan pembekuan semua permit pemindahan padi keluar dari Terengganu dan pemindahan tanpa permit adalah satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Kawalan Padi dan Beras 1994.

Beliau berkata, selain itu Bernas juga tidak akan membayar subsidi harga padi kepada petani yang menghantar hasil padinya ke kilang padi di negeri lain.

"Bahagian Kawalselia Padi dan Beras akan menjalankan rondaan dan pemeriksaan berkala di sempadan bagi memastikan tiada pelanggaran arahan dan kesalahan dilakukan.

"Pemeriksaan dibuat bagi memastikan harga lantai belian padi RM1,300 per tan di kilang-kilang dalam negeri mengikut ketetapan harga kawalan yang ditetapkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Disember 2023 @ 3:19 PM